Saturday, October 3, 2009

Wira Yang Tidak Didendang

 Wira peronda jambatan 

Sekiranya, ia melibatkan kerosakan teruk ataupun kemalangan, kenderaan akan ditunda keluar dari jambatan bagi membolehkan kesesakan lalu lintas dipulihkan dengan segera.




SESIAPA sahaja yang melalui Jambatan Pulau Pinang pasti pernah terperangkap dalam kesesakan, terutama ketika melaluinya pada waktu puncak.
Walaupun pembukaan lorong ketiga sejak awal Julai lalu dilihat mampu menyelesaikan masalah tersebut, namun pengguna masih tidak dapat lari daripada isu itu. Kesesakan menjadi lebih teruk jika berlaku kemalangan atau kenderaan rosak yang menghalang laluan kenderaan lain.
Di sebalik sumpah seranah yang mungkin dilontarkan oleh kita yang tidak sabar apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutama sepanjang cuti panjang Aidilfitri, tahukah kita bahawa ada pihak lain memikul tanggungjawab untuk menyuraikan 'kekusutan' tersebut. Mereka ialah petugas Pasukan Peronda Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB).
Ayob Aziz, 45, dan rakan setugasnya, Mohamad Marzukim Najamudin, 40, merupakan antara individu yang bertanggungjawab menyuraikan kesesakan tersebut.
Menurut Ayob, pengalaman bekerja selama 15 tahun sebagai anggota peronda lebuh raya telah menjadikannya lebih matang dalam usaha memberi bantuan kepada orang ramai dengan kadar segera.
Katanya, sebagai pasukan peronda, tugas utama yang harus dipikul adalah memulihkan semula keadaan lalu lintas yang sesak.
"Selalunya, kesesakan di Jambatan Pulau Pinang berlaku kerana kenderaan rosak, kemalangan mahupun objek tercicir.
"Kalau ia melibatkan kerosakan kecil kenderaan, kami akan cuba membaikinya supaya kenderaan terlibat dapat bergerak semula. Sebab itulah, kami turut dilatih dengan kemahiran teknikal.
"Tetapi sekiranya, ia melibatkan kerosakan teruk ataupun kemalangan, kenderaan akan ditunda keluar dari jambatan agar lalu lintas dapat dipulihkan dengan kadar segera," katanya.




ANGGOTA petugas Pasukan Peronda Penang Bridge Sdn. Bhd. turut diberi latihan teknikal berkaitan kenderaan bagi membantu pengguna Jambatan Pulau Pinang.



Mengulas pengalaman paling tidak dilupakan, Ayob berkata, pengalaman menyaksikan seorang lelaki cuba terjun dari atas jambatan dipercayai untuk membunuh diri kira-kira dua tahun lalu menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakannya.
Katanya, ketika itu, beliau sedang meronda bersama seorang rakan setugas sebelum ternampak seorang lelaki berdiri di pinggir penghadang jambatan dalam keadaan mencurigakan.
"Kami berhenti dan memperkenalkan diri sebelum memujuk dia supaya tidak meneruskan niatnya.
"Malangnya, dia terus berdiam diri walaupun dipujuk beberapa kali. Kami cuba untuk tidak panik, dan apabila dia cuba panjat tembok penghadang, saya dan rakan bertindak pantas memaut tubuh lelaki itu.
"Dia menangis teresak-esak dan meronta-ronta. Kami sempat menghubungi bilik kawalan sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohamad Marzukim pula berkata, mereka turut bertanggungjawab membersihkan laluan daripada objek yang boleh menghalang kelancaran pergerakan kenderaan. Antara yang paling kerap berlaku adalah paku yang bertaburan di atas jalan raya," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya kerap menemui paku yang ditabur oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan biasanya mangsa adalah penunggang motosikal.
"Pernah semasa meronda pada kira-kira pukul 11 malam, beberapa tahun lalu, saya terserempak dengan sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil berusia dua tahun. Mereka terpaksa berhenti di tepi jalan kerana tayar motosikal bocor.
"Saya hubungi bilik kawalan PBSB dan beri bantuan sewajarnya kepada mereka. Keadaan seperti ini membuatkan kami berasa geram dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menabur paku," katanya.




TUGAS utama yang harus dipikul adalah memulihkan semula keadaan lalu lintas yang sesak.



Menurutnya, jumlah kes seperti itu kini semakin berkurangan kerana pihaknya telah diarah membuat rondaan bermotosikal dengan membawa alat khas iaitu logam magnet bagi mengesan paku di atas jalan.
"Selain itu, PBSB juga menyediakan perkhidmatan mengangkut motosikal mangsa, sama ada motosikal itu mengalami kerosakan enjin ataupun tayar bocor ke bengkel berdekatan secara percuma.
"Mungkin atas faktor tersebut, paku tidak lagi ditabur di atas jambatan kerana pelakunya mungkin sudah tidak boleh 'cari makan' dengan cara ini," jelasnya yang bertugas sebagai anggota pasukan peronda lebuh raya di jambatan itu sejak lima tahun lalu.
Anggota pasukan peronda seperti Ayob dan Mohamad Marzukim seharusnya diberi pujian atas tugas yang telah dilaksanakan. Ini kerana mereka merupakan 'barisan hadapan' dalam memberi tindak balas pantas untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

(sumber dipetik dari Kosmo,02 Oktober, 2009)

No comments:

Post a Comment