Pertabalan Penuh Adat Istiadat
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerima menghadap menjunjung duli Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Dohak pada Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, semalam. - BERNAMA
KUALA PILAH 26 Okt. - Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, 61, hari ini ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 dalam majlis penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini.
Istiadat pertabalan itu disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Petra Datuk Mubarak Dohak selaku Imam Undang Yang Empat.
Berangkat sama pada majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani.
Turut hadir tiga lagi Undang iaitu Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Hadir sama Putera Yang Empat - Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tunku Laxamana, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.
Turut berangkat pada majlis itu ialah wakil Raja-Raja Melayu termasuk wakil Sultan Brunei dan Yang Dipertua Negeri serta isteri masing-masing.
Tetamu kenamaan lain ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, menteri-menteri Kabinet, anggota Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Januari 1948 dan merupakan satu-satunya putera daripada enam beradik kepada pasangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-9, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan pasangan baginda, Tunku Ampuan Durah Tunku Besar Burhanuddin.
Pada istiadat yang berlangsung selama sejam bermula pada pukul 11 pagi bermula dengan Datuk Bentara Dalam, Aminuddin Abd. Rahman menyeru supaya Mubarak tampil menghadap dan melafazkan pertabalan Tuanku Muhriz yang telah sedia duduk di atas singgahsana dalam Balairong Seri bersama Tuanku Aishah Rohani.
Mubarak kemudiannya tampil dan menyeru kepada Datuk Bentara Kanan, Ibrahim Ujang: ''Adapun pada hari ini kami menabalkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan serukanlah sabda kami kepada sekalian rakyat menghadap dan menjunjung Duli.'
Sebaik lafaz berkenaan diseru, maka Ibrahim menyambut dengan menyembahkan seruan kesetiaan terhadap pertabalan Tuanku Muhriz.
''Hai, tuan-tuan sekalian, adalah Undang Yang Empat dengan adat istiadatnya menabalkan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan," ujar Datuk Bentara Kanan.
Selepas istiadat itu berlangsung, Datuk Seri Amar Diraja, Ahmad Minal dan Datuk Pegawai Yang Enam bangun untuk menurunkan daulat yang kemudiannya Datuk Bentara Kanan menyeru 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali.
Sejurus kemudian, lagu kebesaran Negeri Sembilan diperdengarkan beserta tembakan meriam 32 das daripada 41 Bateri Istiadat, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Adat istiadat itu diteruskan dengan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli oleh Undang Yang Empat diikuti oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung.
Kemudian diikuti istiadat menghadap oleh Datuk-Datuk Lembaga Luak dan Lembaga Waris Undang Sungai Ujong
Istiadat pertabalan itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad sebelum Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, wakil Raja Melayu dan wakil Sultan Brunei serta tetamu kehormat menuju ke dewan banquet istana untuk santapan dan jamuan tengah hari.
Terdahulu, pada pukul 10 pagi, Tuanku Muhriz menerima hormat Diraja dan memeriksa kawalan kehormat pasukan 41 Bateri Istiadat RAMD dengan diiringi 21 das tembakan istiadat di pekarangan Istana Besar Seri Menanti.
Tuesday, October 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment