Sunday, October 4, 2009

Berfikirlah Sejenak

400 penduduk ditelan bumi




SEORANG wanita berjalan di hadapan sebuah masjid yang runtuh di kampung Patamuan di bandar pinggir pantai Padang Pariaman, semalam. – Reuters





JAKARTA 3 Okt. - Kira-kira 400 orang yang sedang menghadiri satu majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman ketika gempa bumi melanda Sumatera Barat pada Rablu lalu pada 5.16 petang 30 Sept.
Kebimbangan itu berdasarkan keadaan kampung itu yang kini rata ditutupi tanah dan menara masjid, yang merupakan struktur tertinggi di situ, bahkan juga sudah tidak kelihatan.
"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S. Pakaya yang dipetik detikcom, hari ini.
Sambil menyebut bahawa pasukan mencari dan menyelamat tidak mungkin menggali sedalam 30 meter untuk mengeluarkan mangsa, beliau berkata, dengan tenggelamnya kampung itu, proses mencari dan menyelamat sangat sukar untuk dijalankan walaupun pasukan pencari masih berusaha.
Tragedi di kampung itu yang berlaku pada pukul 5.16 petang merupakan satu daripada beberapa kejadian serupa apabila mangsa tertimbus dan terhimpit di celah runtuhan bangunan, yang kini mendapat perhatian setelah komunikasi dan jalan raya mulai dapat berfungsi semula.
Di Kota Padang sendiri, televisyen tempatan menyiarkan visual pelbagai usaha mencari dan menyelamat yang giat dijalankan pihak berkuasa termasuk tentera di beberapa buah hotel dan bangunan lain seperti pusat tuisyen, pada ketika bau mayat dikatakan sudah mulai menyengat.
Kira-kira 100 mangsa dipercayai terhimpit di celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding hotel Ambacang, 50 murid masih tertimbus tanah runtuh yang menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman dan 200 orang lagi masih hilang, juga dipercayai tertimbus runtuhan dua buah bukit di Petamuan, Padang Pariaman.
Setelah masuk hari keempat yang dianggap sangat genting bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk menemui dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup, para pegawai pihak berkuasa berkata keluarga mangsa terutama yang tertimbus harus ikhlas merelakan kepergian keluarga mereka. - BERNAMA

(sumber: Utusan Malaysia, 4 Oktober 2009)

No comments:

Post a Comment