Wednesday, October 28, 2009

Sekitar Peristiwa Jambatan Gantung Runtuh di Kuala Dipang

1 Lemas, 2 Hilang, 19 Selamat

KAMPAR 27 Okt. – Gerakan mencari dua murid yang hilang dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di sini malam tadi masih diteruskan hari ini.

Mayat seorang daripada tiga murid yang hilang dalam kejadian pukul 10.30 malam itu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, mayat murid perempuan, N. Dina Deve, 11, ditemui kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian di Jalan Lama Kuala Dipang, kira-kira pukul 8.40 pagi.

Mangsa merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan, Kampar.

Menurut beliau, dua lagi murid yang masih hilang ialah V. Diryasree, 12, dari SJKT Gopeng dan M. Davadharsini, 11, dari SJKT Mambang Di Awan.

Beliau memberitahu, gerakan itu membabitkan lebih 500 anggota termasuk polis, Komando 69, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Katanya, pasukan tersebut digerakkan sejak malam tadi bagi mengesan mangsa-mangsa yang dikhuatiri lemas dibawa arus deras di Sungai Kampar itu.

“Polis mengesahkan bahawa dalam kejadian itu, tiga murid yang dikhuatiri lemas. Usaha kini sedang dilakukan untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam tadi, jambatan gantung tersebut tiba-tiba runtuh menyebabkan tiga murid yang sedang mengikuti perkhemahan 1Malaysia itu hilang.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang hilang dalam kejadian itu disahkan hanya tiga orang, manakala 19 lagi yang sebelum ini dikatakan turut lemas, terselamat.

Tambah Zakaria, perkhemahan selama empat hari itu bermula semalam dan disertai seramai 298 murid daripada 60 buah sekolah daerah Kinta Selatan iaitu Kampar, Ipoh dan Batu Gajah.

Zakaria berkata, berikutan kejadian itu, pusat kokurikulum tersebut diarahkan tutup serta-merta bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.


'Ada Murid Mengenjut Jambatan'

SALAH seorang murid yang terselamat, Muhammad Haziq Ting Muhammad Salleh dipeluk ibunya, Khairulnisa Zainuddin di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar, semalam. - bernama

KAMPAR 27 Okt. - "Saya lihat ada beberapa murid yang sengaja mengenjut dan menggoyang jambatan itu ketika ramai sedang menyeberang. Ia menyebabkan ada yang menjerit ketakutan.

"Sejurus selepas itu, saya dengar bunyi kuat dan melihat jambatan tersebut runtuh disusuli dengan suara orang menjerit-jerit meminta tolong dan memanggil guru".

Begitu cerita murid dari Sekolah Kebangsan Tronoh, Abdul Muktadir Abdul Wahab, 12, yang ketika kejadian sedang mengambil makanan di khemah, kira-kira 50 meter dari jambatan gantung berkenaan.

Dia bagaimanapun tidak berani untuk menolong murid-murid yang terjatuh di dalam sungai itu kerana arusnya sangat deras.

Seorang murid lain yang terselamat, Muhammad Haziq Ting Muhammad Salleh Ting, 12, berkata, semasa kejadian, terdapat kira-kira 50 murid sedang menyeberangi jambatan dari kedua-dua arah.

"Saya sedang melalui jambatan untuk pergi makan di khemah di seberang sungai dan ada tiga budak sedang melompat-lompat di atas jambatan untuk menakut-nakutkan kami.

"Tiba-tiba jambatan itu runtuh tetapi mujurlah saya sempat berpaut pada tali kabel jambatan sebelum diselamatkan oleh seorang guru," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rakan Abdul Muktadir, Nurul Sabrina Mohd. Sobri, 12, pula berjaya menyelamatkan diri kerana telah berada di hujung jambatan semasa kejadian.

"Saya hendak pulang ke khemah selepas makan dan tiba-tiba saya terasa seperti jambatan hendak runtuh. Saya cepat-cepat lari dan mujurlah saya sempat sampai ke seberang sebelum runtuh," katanya.

Menurut Nurul Sabrina, seorang rakannya yang berada di tengah-tengah jambatan itu terjatuh tetapi sempat diselamatkan oleh seorang guru.

Dalam kejadian di pusat kokurikulum daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang pukul 10.30 malam tadi, seorang mati lemas manakala dua lagi belum ditemui selepas jambatan gantung yang digunakan mereka runtuh secara tiba-tiba.

Mereka antara 298 murid tahun empat, lima dan enam dari 64 buah sekolah kebangsaan yang menyertai perkhemahan 1Malaysia selama empat hari melibatkan seluruh Kinta Selatan di pusat kokurikulum daerah di SK Kuala Dipang di sini.


Hanya Jeritan Murid Minta Tolong Kedengaran

KAMPAR 27 Okt. - "Bila jatuh ke dalam sungai semua orang menjerit- jerit minta tolong. Cikgu tolong... cikgu tolong!.

"Tidak lama kemudian, saya nampak tiga orang sudah hanyut dan tangan mereka tenggelam timbul dalam sungai. Saya sendiri takut dan tak mampu nak tolong," kata Muhammad Amir Amzah Mohd. Aspar, 12, salah seorang mangsa jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang di sini malam tadi.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan itu berkata, sebelum jambatan itu runtuh, mereka sedang merentasi Sungai Kampar yang cukup deras airnya dalam tiga barisan.

"Saya ada terdengar besi di bahagian belakang sudah berbunyi dan bila toleh belakang tiba-tiba saja nampak tiang jambatan itu tumbang. Bila jatuh ke sungai semua orang menjerit.

"Separuh daripada badan saya masuk ke dalam sungai. Tetapi nasib saya baik kerana dapat pegang tali kabel dan terus panjat ke tepi sungai," katanya ketika ditemui pemberita di SK Kuala Dipang hari ini.

Muhammad Amir Amzah yang sangat ketakutan dengan kejadian itu hanya sempat menyelamatkan diri tanpa dapat membantu rakan-rakan yang lain.

"Kawan-kawan saya semuanya menjerit minta tolong. Ada yang tidak sempat pegang kabel. Saya nampak mereka hanyut," katanya yang turut memberitahu sebelum kejadian itu ada murid yang sengaja menggoyang-goyangkan jambatan itu.

Dalam pada itu, seorang guru pengiring, Mohd. Safri Abdul Ghafar dari Sekolah Kebangsaan Sri Tronoh berkata, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan dia berusaha menyelamatkan murid-murid yang terbabit.

Beliau yang ditemui dalam keadaan masih lemah berkata, walaupun telah berusaha sebaik mungkin, tetapi tidak berupaya menyelamatkan semua murid yang terjatuh ke dalam sungai.

"Kejadian ini memang tidak disangka-sangka kerana ini adalah hari pertama bagi program Kem 1Malaysia ini.

"Saya sendiri merasakan jambatan gantung itu dihayun dengan kuat dan akhirnya jatuh ke dalam sungai," katanya.


Tindakan Nekad Bantu Mangsa

KAMPAR 27 Okt. - Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di sini malam tadi.

Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu.

Suasana ketika itu kelam kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar semasa sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lepas itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang.

Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan.

Menceritakan semula detik-detik cemas malam tadi, Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa berfikir panjang beliau terus terjun ke sungai berkenaan untuk membantu mangsa.

Dua lagi rakannya, Rosli Mohamad, 44, dan Ismail Ahmad 62, turut terjun ke sungai bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Zulkifli berkata, rakannya Rosli berjaya membawa naik enam murid manakala beliau dan Ismail sempat menarik naik antara empat dan enam murid.

"Air sungai sangat deras dan saya bersyukur kerana dapat membantu dengan cepat," katanya.

Sementara itu seorang guru Mohd. Safri Abdul Rafar berkata, beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti jerit pekik.

Menyedari jambatan itu runtuh ketika murid-murid berada di atasnya, beliau nekad terjun ke sungai dan mengharungi arus deras bagi menyelamatkan mereka.

Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu, Muhammad Haziq Ting Muhammad Salleh Ting, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bemban, Batu Gajah, berkata, semasa kejadian, beliau berada di tengah-tengah jambatan.

"Tiba-tiba sahaja saya tercampak ke dalam sungai, air sangat deras... saya bersyukur kerana sempat berpaut pada tali yang terjuntai dari titi dan dapat menyelamatkan diri dengan menaiki tepi tebing," katanya.

Perkhemahan yang bermula semalam dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam.

Jambatan sepanjang kira-kira 35 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini dan ia menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke SK Kuala Dipang.

Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas. - Bernama


Paut Tali Kabel Selamatkan Diri

KAMPAR 27 Okt. - 'Saya dan beberapa kawan sempat pegang tali kabel yang ada di jambatan semasa jatuh. Tapi saya sedih dan takut bila tengok ramai kawan lain dibawa arus deras," kata K. Mathivaanaan, 12.

Menceritakan detik-detik kejadian itu, murid tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kinta Valley di sini berkata, jambatan gantung yang merentasi Sungai Kampar itu tiba-tiba bergoyang sebelum terputus.

''Waktu itu ada lebih kurang 30 murid atas jambatan. Kami baru lepas makan (minum malam) dan nak pulang ke kawasan khemah di seberang sana," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.

Kejadian jambatan gantung terputus itu berlaku ketika sebahagian daripada 294 murid tahun empat, lima dan enam dari sekolah seluruh Kinta Selatan sedang mengikuti aktiviti perkhemahan selama empat hari berakhir Khamis ini.

Mathivaanaan yang gemar aktiviti lasak berkata, tanpa berfikir panjang, dia terus berpaut pada tali kabel bersama beberapa rakan lain selama beberapa minit sebelum akhirnya berjaya naik ke tebing.

Ketika itu, katanya, dia hanya mampu melihat dan mendengar jeritan rakan-rakan lain meminta pertolongan sebelum hilang dibawa arus.

''Saya amat takut. Tetapi saya tidak dapat buat apa-apa untuk tolong selamatkan mereka," katanya yang masih kelihatan ketakutan dan cemas.

Menurut Mathivaanaan, sebaik sahaja berjaya menaiki tebing sungai, dia seperti kehilangan arah dan tidak dapat berfikir buat sementara waktu.


Arus Deras,Habur Sukarkan Usaha Mencari Mangsa Hanyut

KAMPAR 27 Okt. - Dua penyelam berpengalaman mengakui keadaan arus yang deras dan dalam di Sungai Kampar menyebabkan usaha mencari dan menyelamat mangsa menemui jalan sukar.

"Memang saya akui usaha menyelamat mangsa sukar. Bukan sahaja airnya deras malah jarak penglihatan di dasar sungai sangat kabur.

"Apa yang boleh kami lakukan cuma berjalan perlahan-perlahan di dalam sungai dan berharap dapat menemui mangsa," kata penyelam sukarela, Shamsuddin Shariman, 39, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang dekat sini hari ini.

Menurutnya, yang berpengalaman dalam bidang menyelam, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan budak-budak sekolah terbabit ketika jambatan itu runtuh malam tadi.

"Kalau orang dewasa jatuh ke Sungai Kampar ini pun, belum tentu mereka boleh selamat, inikan pula budak-budak sekolah rendah," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penyelam sukarela, Mohd. Zarith Izwan Abdul Razak, 19, berkata, Sungai Kampar amat berbahaya kerana airnya yang dalam dan mempunyai banyak lubuk.

Beliau yang menemui mayat kanak-kanak perempuan pertama di Kampung Pasir, kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian berkata, hanya mereka yang berpengalaman dan biasa dengan keadaan sungai itu sahaja yang dapat menyesuaikan diri.

"Saya telah menyelam sejak berusia 11 tahun dan saya gunakan segala pengalaman yang ada untuk mencari mangsa yang hilang.

"Kira-kira pukul 8.40 pagi secara tidak sengaja saya terpegang rambut dan apabila menariknya, didapati ia adalah mayat seorang kanak-kanak perempuan," katanya.



TPM Sedih Tragedi Jambatan Runtuh

KAMPAR 27 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedih dengan kejadian jambatan runtuh di Kuala Dipang di sini malam tadi, berharap operasi mencari dan menyelamat akan menemui dua lagi murid yang masih hilang.

Beliau yang nampak murung sepanjang lawatan mengejut pada pukul 10.45 pagi di tempat kejadian turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga terlibat.

''Mayat salah seorang murid telah ditemui dan saya berharap keluarganya bersabar kerana ini adalah dugaan Tuhan.

''Bagi membantu urusan kematian, pihak kementerian bersetuju menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa. Ini bukan soal hendak bayar ganti rugi tetapi untuk menguruskan pengkebumian dan hal-hal berkaitan," katanya kepada pemberita di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar di sini hari ini.

Menurutnya, semua murid yang terlibat mempunyai perlindungan insurans bagi mengikuti program sedemikian.

Dalam kejadian malam tadi, tiga pelajar yang mengikuti program perkhemahan di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar didapati hilang selepas jambatan gantung yang mereka gunakan untuk merentasi Sungai Kampar di kawasan tersebut runtuh.

Seorang daripada mereka iaitu Dina Deve, 11, ditemui mati pagi ini manakala dua lagi masih belum ditemui.

Timbalan Perdana Menteri turut mengunjungi rumah Dina Deve di Taman Mambang Di Awan bagi melahirkan rasa simpatinya kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pusat kokurikulum berkenaan akan ditutup buat sementara waktu. Tegas beliau, semua aktiviti di pusat itu akan dihentikan sehingga siasatan kes tersebut selesai.

Mengenai dakwaan sesetengah ibu bapa bahawa mereka tidak memberi kebenaran kepada anak-anak menyertai program berkenaan, beliau berkata, pemeriksaan awal menunjukkan semuanya membenarkan Jabatan Pelajaran Negeri menjalan aktiviti berkenaan.

''Kalau ikut peraturan mesti ikut kebenaran ibu bapa. Kalau ibu bapa tak setuju pun kita tak akan paksa. Bagaimanapun, daripada tinjauan awal kita sudah dapat kebenaran ibu bapa," katanya.

Kata Muhyiddin, perkhemahan 1Malaysia itu diadakan untuk membolehkan murid sekolah kebangsaan daripada semua kaum memahami Gagasan 1Malaysia.

''Kita mahu pelajar semua kaum melakukan aktiviti bersama, makan bersama dan main bersama bagi memahami Gagasan 1Malaysia dan ia melibatkan semua negeri.

''Kem 1Malaysia memang telah diputuskan di peringkat kementerian. Malangnya perkara sebegini pula yang berlaku. Bagaimanapun ia akan terus berjalan di seluruh negara," katanya.

Menurut beliau, tragedi berkenaan akan menjadi satu pengajaran berguna buat pihak kementerian dan guru-guru yang terlibat supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Justeru, beliau mahu soal keselamatan pelajar menjadi perkara paling utama yang sentiasa diberi perhatian selain kemudahan rawatan serta peralatan bantuan kecemasan ketika menjalankan aktiviti seumpama itu.

Seramai 294 murid sekolah kebangsaan sekitar daerah Kinta Selatan berada di pusat kokurikulum di SK Kuala Dipang di sini mengikuti perkhemahan 1Malaysia yang sepatutnya berlangsung empat hari bermula semalam.


Raja Nazrin Shah Lawat Lokasi

KAMPAR 27 Okt. - Raja Muda Perak Raja Dr. Nazrin Shah hari ini melawat tempat kejadian jambatan gantung yang runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di sini di mana seorang murid perempuan lemas dan dua lagi murid perempuan masih hilang.

Baginda tiba pada pukul 5 petang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Zakaria Yahya.

Baginda turut mengunjungi bilik operasi di padang sekolah serta bertemu ibu bapa mangsa kejadian itu.

Hujan pada sebelah petang tidak menghalang kira-kira 500 anggota dan pegawai pasukan mencari dan menyelamat dari pelbagai agensi meneruskan operasi mencari dua lagi mangsa perempuan yang hilang.

Murid berkenaan adalah sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan. - Bernama

(Sumber dipetik dari Utusan Malaysia. 28 Oktober 2009)

No comments:

Post a Comment