Saturday, October 10, 2009

BICARA AGAMA

Larangan makan riba




Umat Islam wajib mengelak terlibat dalam unsur riba termasuk dalam urusan pembelian kereta.





SHEIKH Sya'rawi berkata: Kita dapati firman Allah SWT berkenaan dengan penjagaan solat lima waktu dan solat pertengahan datang pada tempatnya. Begitu juga ayat berkenaan dengan riba datang pada tempatnya supaya orang yang menghendaki duit riba yang tidak disyariatkan Allah akan mengetahui berkenaan bala yang akan ditimpa ke atasnya dianggap sebagai menentang Allah dan juga rasul.
Ayat ke-130
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Ibn Jarir berkata: "Janganlah kamu memakan harta riba' berlipat kali ganda selepas kamu menganut agama Islam. Sebab Allah SWT telah memberi hidayah kepadamu, mengenai larangan perbuatan kamu pada zaman jahiliah dahulu".
ii. Al-Razi berkata: "Pada zaman jahiliah, apabila seseorang memberi hutang kepada orang lain dengan wang yang bernilai 100 dirham untuk jangka masa tertentu, bila tiba waktunya orang yang berhutang tidak mampu membayarnya, maka pemiliknya akan berkata: Berikan bunganya, nanti aku akan tangguhkan waktunya. Boleh jadi dia akan menetapkan menjadi 200 dirham.
"Bila sampai tempoh yang dijanjikan, si berhutang belum juga mampu membayarnya, lalu ditunda lagi sampailah beberapa kali.
Penundaan yang kerap kali menyebabkan wang yang 100 dirham menjadi berlipat kali ganda banyaknya. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya perkara berganda-ganda itu".
iii. Al-Maraghi berkata: "Hendaklah kamu takut kepada Allah SWT mengenai hal-hal yang kamu dilarang mengerjakannya, termasuklah riba".
iv. al-Biqa'i berpendapat sebab utama malapetaka yang terjadi dalam perang Uhud adalah langkah para pemanah meninggalkan posisi mereka di atas bukit untuk turun mengambil harta rampasan perang sedangkan Nabi SAW telah melarang mereka.
Harta yang mereka ambil itu serupa dengan riba kerana keduanya merupakan sesuatu bahagian yang lebih dari hiasan dunia.
Ayat ini mengajak orang-orang beriman agar tidak memakan riba sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat jahiliah ketika itu.
Mereka diajak untuk menghindari seksa Allah SWT di dunia dan di akhirat dengan perintah-Nya. Neraka disediakan untuk orang-orang kafir, antara lain mereka yang menghalalkan riba, orang-orang yang derhaka yang mengkufuri nikmat Allah SWT.
v. Hamka berkata: "Menurut ahli tafsir, inilah ayat mengharamkan riba yang mula-mula turun dan mengandungi bermacam-macam hikmah.
"Riba adalah suatu pemerasan hebat dari yang memberi hutang kepada si penghutang. Umumnya, telah diketahui riba adalah kehidupan yang paling jahat dan meruntuhkan segala bentuk persaudaraan sesama Muslim.
"Konsep takwa telah dianjurkan khusus untuk menghalang perbuatan riba menguasai pentas kehidupan manusia".
Ayat ke-131
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Jauhkanlah dirimu daripada meniru perbuatan tukang riba kerana memakan harta riba hanya akan menjerumuskan dirimu ke dalam neraka, yang telah disediakan kepada orang kafir.
Tidak diragukan lagi bahawa ayat ini mengandungi ancaman keras. Golongan beriman yang diperintahkan diharap dapat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat.
Apabila mereka menyedari bahawa dengan meninggalkan amalan takwa akan membawa mereka ke neraka, nescaya perasaan rasa takut mereka untuk melakukan perbuatan maksiat akan lebih menebal.
ii. Imam Abu Hanifah r.a berkata: "Ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang paling menakutkan. Ini kerana Allah SWT mengancam orang mukmin bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang memang disediakan untuk orang kafir sekiranya tidak mahu menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan haram".
iii. Sayid Qutub berkata: "Sebelum ayat dari surah ini menghuraikan yang berkaitan dengan perang Uhud dipaparkan segala yang berkaitan dengan pertempuran dahsyat iaitu pertempuran dalam diri manusia dan lingkungan hidupnya. Huraian tentang riba, takwa dan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya".
iv. Hamka berkata: "Allah SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya yang beriman tidak terjebak dan melakukan riba seperti orang kafir.
"Ini kerana orang kafir yang melakukan riba telah terang-terangan jahil, akan tetapi jika dilakukan oleh orang yang beriman amatlah malang kepadanya kerana menjauhkan rahmat Allah SWT ke atasnya dan kemurkaaan-Nya menyebabkan azab yang amat pedih menanti di akhirat kelak".
Ayat ke-132
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Ibn Kathir berkata: "Allah perintahkan hamba-Nya supaya bertakwa, mudah-mudahan mereka berjaya di dunia dan di akhirat".
ii. Al-Qurtubi berkata: "Maksud taat pada Allah di sini dengan melaksanakan yang fardu termasuk meninggalkan pengharaman riba".
iii. Al-Alusi berkata: "Supaya kamu mendapat rahmat Allah dan mengharapkannya".
iv. Al-Maraghi berkata: "Taatlah kamu kepada Allah SWT dan Rasul-Nya meskipun dalam perkara yang dilarang-Nya, seperti memakan riba.
"Patuhilah segala perintah-Nya, termasuk bersedekah agar kamu mendapat rahmat di dunia ini, seperti memperoleh hidup yang baik dalam masyarakat dan menerima pembalasan yang baik berdasarkan amalan di akhirat kelak.
"Orang yang memiliki perasaan belas kasihan terhadap orang lain akan mendapat rahmat Tuhan Yang Maha Pengasih".
v. Hamka berkata: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Jauhilah perbuatan riba dan banyakkanlah bersedekah. Sesungguhnya Allah SWT bersifat Maha Pemurah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya tidak kira yang beriman mahupun orang kafir".
Marilah sama-sama kita mentaati Allah dan Rasul-Nya, kerana dengan mentaatinya kita beroleh rahmat. Amin.

Al-Quran bukan untuk kepentingan peribadi

SOALAN:

MUTAKHIR ini ada di kalangan orang bukan Islam berkepentingan dengan keadaan tertentu membaca ayat-ayat suci al-Quran. Mohon penjelasan sejauhmana keharusan orang bukan Islam membaca al-Quran?
Jawapan:
Al-Quran al-karim adalah kalam Allah SWT, membacanya mendapat pahala biarpun tidak difahami isi kandungan. Al-Quran telah diturunkan ke atas baginda selama 23 tahun dengan tiga cara. Pertama melalui perantaraan Jibril a.s. Kedua, melalui mimpi dan ketiganya, melalui suara daripada sebalik tabir.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana (al-Syura': 51).
Selepas 23 tahun setelah baginda mengharungi bermacam-macam ancaman, ujian yang getir al-Quran sempurna ke penghujungnya.
Sekali gus melengkapkan ajaran Allah SWT di atas permukaan bumi, sebagai panduan hidup manusia, tidak salah kalau dikatakan ia adalah buku manual bagi kehidupan manusia secara sempurna.
Di dalam kitab-kitab yang membincangkan ulum al-Quran juga ada menggambarkan betapa susahnya baginda menerima wahyu, lebih-lebih lagi kali pertama baginda menerima wahyu di Gua Hira'. Saya yakin ramai orang Islam mengetahuinya.
Walaupun Jibril dan wahyu sudah menjadi teman Rasulullah SAW, namun masih adakalanya baginda menghadapi kesukaran ketika menerima wahyu.
Ada ketikanya wahyu diturunkan pada hari-hari suasana cuaca yang panas terik tetapi baginda menerimanya dalam kesejukan menggigil, adakalanya wahyu diturunkan dalam cuaca yang sangat sejuk tetapi baginda menerimanya dalam keadaan kepanasan berpeluh.
Setiap ayat yang turun ada sejarah suka dan dukanya. Semua itu baginda lalui dengan penuh kesabaran dan ketabahan, kerana itu adalah tugas baginda.
Al-Quran yang ada pada kita dalam pelbagai variasi tidak wujud dengan sekelip mata, malahan ia juga telah melalui pelbagai cabaran sebelum tersusun indah dalam bentuk 30 juzuk dengan dilengkapi 114 surah.
Pada awal penurunannya ada yang menulis ayat-ayat suci ini di atas pelepah-pelepah tamar dan kulit bintang. Selepas kewafatan Rasulullah SAW di Zaman Abu Bakar sehinggalah ke Zaman Uthman bin Affan, al-Quran dikumpul dan ditulis sehingga sempurna dan ia diagih ke empayar Islam yang lain.
Semua ini kit baca tetapi tidak merasai keperitan 23 tahun penurunan al-Quran tidak difahami. Apa yang timbul hari ini, al-Quran dijadikan modal untuk kepentingan sesetengah kumpulan dalam kempen-kempen murahan sehingga membenar dan mengiyakan orang bukan Islam menjaja ayat-ayat Allah SWT di atas pentas-pentas politik.
Tidak salah orang bukan Islam mempelajari ayat-ayat al-Quran dengan tujuan mengkaji dan mencari kebenaran, ini banyak berlaku di universiti-universiti, saya pun pernah mengkaji al-Quran ketika di sekolah menengah, natijahnya saya bertemu dengan kebenaran dan menerima Islam sebagai cara hidup.
Adalah haram bagi kita orang Islam bersorak dan berasa bangga apabila mendengar orang bukan Islam membaca al-Quran dengan anggapan "tengok orang bukan Islam pun terima al-Quran."
Hanya golongan yang tidak cinta pada al-Quran sahaja yang akan rasa seronok dan bangga, bagi saya ini adalah satu sendaan terhadap al-Quran. Sebelum ini, di Perak tetapi kali ini di Bagan Pinang, lepas ini di mana?
Ada yang mengatakan bahawa orang di Eropah membaca al-Quran. Ya betul, tapi mereka membaca dengan tujuan mengkaji Islam, dan yang mereka baca bukan lafaz Arabnya tetapi tafsiran dan terjemahannya yang juga akhirnya menjadikan mereka Muslim.
Orang Islam membaca al-Quran untuk menjadikan panduan dan pada masa yang sama, menjadikannya amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala orang bukan Islam baca untuk apa? Cari pahala? Mendekatkan diri kepada Allah? Untuk apa?
Jawapannya dalam konteks apa yang berlaku di atas pentas-pentas politik adalah untuk tujuan murahan. Ditambah pula dengan sebutan yang tidak betul, makhrajnya apa lagi, tajwidnya. Menyakitkan telinga, sekali gus menyakitkan hati mendengar orang memperalatkan al-Quran.
Mungkin yang dengar ayat-ayat yang dibaca oleh orang buka Islam sama tidak tahu baca al-Quran agaknya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya (bangun malam untuk berqiam); dan bacalah al-Quran dengan Tartil. (al-Muzammil: 4).
Saydian Ali r.a berpendapat mengenai tartil: "Membaca al-Quran dengan memelihara panjang pendeknya serta makhraj dan sifat hurufnya dan wakaf ibtida'nya."
Pandangan Saydina Ali menjadi rujukan para ulama tajwid untuk mengukur bacaan al-Quran seseorang yang benar-benar menepati kehendak Allah SWT.
Imam Syafie berpendapat: "Membaca al-Quran bertajwid adalah wajib manakala mempelajarinya adalah fardu kifayah", manakala dalam kenyataan yang lain Imam Syafie menghukum orang yang tidak membaca al-Quran dengan tajwidnya yang betul adalah fasiq.
Manakala hukum orang yang mendengar membaca al-Quran salah wajib ditegur sekiranya keadaan itu mengizinkan dia berbuat demikian.
Kita juga sedia maklum, sekiranya sifat dan makhraj sesuatu huruf al-Quran berubah mungkin boleh mengubah makna ayat yang dibaca.
Sekiranya seseorang itu masih melakukan kesalahan membaca al-Quran dan kesalahannya itu jaliy (kesalahan yang boleh menukar makna ayat) adalah haram menjadi imam atau membacanya dengan suara yang nyaring sehingga mengelirukan orang yang mendengarnya.
Oleh yang demikian nasihatilah mereka, supaya tidak memperolok-olokkan al-Quran untuk kepentingan peribadi.

(sumber dipetik daripada Utusan Malaysia, 10 Oktober 2009)

No comments:

Post a Comment