Saturday, March 27, 2010

Siasatan Punca Pilatus PC7 MK II Terhempas Di UUM Sintok

Siasatan Pilatus terhempas siap dalam sebulan

KUALA LUMPUR 26 Mac - Punca sebenar nahas pesawat Pilatus PC7 MKII milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meragut nyawa juruterbangnya, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof semalam bakal diketahui kira-kira empat minggu lagi.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, tempoh itu diperlukan kerana terdapat kemungkinan beberapa komponen pesawat itu yang perlu dihantar ke Switzerland dan Amerika Syarikat untuk dianalisis.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya telah menubuhkan lembaga siasatan yang terdiri daripada kalangan pegawai terbaik diketuai Kolonel Lau Ing Hiong dari Pejabat Inspektorat Jeneral TUDM.
"Komponen berkenaan termasuk kotak hitam akan dihantar ke Switzerland iaitu negara pengeluar pesawat terbabit. Switzerland pula mungkin akan menghantar kotak hitam ke Amerika Syarikat kerana ia dikeluarkan negara berkenaan dan cuma boleh dianalisis di sana.
"Amerika Syarikat seterusnya akan memberi hasil analisis mereka kepada TUDM untuk diperhalusi. Hanya selepas itu, kita akan dapat mengetahui secara terperinci mengenai apa yang berlaku pada hari kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara penyerahan pesawat C130H-30 pasukan Pemeriksaan Struktur (ST) 12 TUDM kepada No. 20 Skuadron di Pangkalan TUDM di sini hari ini.
Dalam kejadian berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah semalam, Muhammed Zulrihan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan maut setelah pesawat yang dipandunya secara solo terhempas ketika melakukan latihan.
Kali terakhir pesawat Pilatus PC-7 dilaporkan terhempas ialah di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 11 September lalu yang mengorbankan dua juruterbang TUDM.
Mengulas mengenai pesawat berkenaan, Rodzali memberitahu TUDM tidak bercadang untuk menukarkannya dengan pesawat lain kerana ia merupakan antara pesawat latihan terbaik di dunia.
Malah, katanya, TUDM bercadang untuk membeli 14 lagi pesawat tersebut di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) termasuk dua yang diperlukan bagi menggantikan pesawat yang terhempas itu.
"Sebelum ini, kita memiliki 18 pesawat jenis itu tetapi kini sudah tinggal 16. Ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan latihan. Kita bercadang untuk beli lagi 12 dan tambah lagi dua untuk menggantikan dua yang terhempas," ujarnya.
Sementara itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk melakukan rombakan terhadap struktur organisasi Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar ekoran dua kejadian pesawat terhempas itu.
"Itu yang utama saya akan cuba laksanakan serta-merta setelah mendapat kelulusan dari Majlis Angkatan Tentera yang akan meneliti sama ada mereka yang berada di KTU itu telah menjalankan perkara-perkara asas," katanya.

 sumber dipetik daripada Utusan Malaysia Online, www.utusan.com.my, 27 Mac 2010

No comments:

Post a Comment