Friday, March 26, 2010

TAHNIAH: Selamat Hari Polis ke 203 kepada Semua Warga PDRM

Konstabel naik pangkat automatik antara insentif baru polis

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan beberapa insentif kepada pegawai dan anggota polis sebagai dorongan untuk mereka memberikan perkhidmatan terbaik.
Pengumuman Perdana Menteri itu dibuat beliau ketika merasmikan sambutan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, di sini.
Insentif berkenaan ialah:
  • Elaun bulanan RM200 kepada 33,000 pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas am.
  • Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun. Kedua-duanya berdasarkan tempoh perkhidmatan.
  • Kerajaan mencadangkan balai-balai yang cemerlang dan terbaik diberikan penghargaan khas berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka.
Mengumumkan perkara itu hari ini, Najib berkata pemberian elaun itu akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM84 juta setahun.
Melalui pindaan Pekeliling Perkhidmatan 2009, anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun, katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
“Inisiatif penambahbaikan ini akan melibatkan lebih 52,000 anggota lain-lain pangkat,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Najib dalam ucapannya turut mencadangkan supaya balai polis yang cemerlang diberikan penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka.
“Apa yang diberikan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara,” katanya.
Selain itu, Najib turut menekankan tiga nilai utama iaitu integriti, keberkesanan dan keberhasilan yang perlu dipegang oleh seluruh warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutama untuk memastikan negara dalam keadaan aman dan selamat.
Tiga nilai itu penting terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
“Mengurangkan jenayah merupakan satu misi nasional yang menjadi agenda penting kerajaan. Tugas tersebut bukan sahaja menjadi tanggungjawab polis tetapi juga Menteri Dalam Negeri serta saya sendiri sebagai ketua kerajaan yang turut bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjayakan matlamat ini,” katanya. Najib berkata sejak NKRA diumumkan tahun lepas dengan mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menjelang tahun 2010, ia mula menunjukkan tanda positif apabila dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ia turun sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata permulaan ini memberi petanda serta dorongan yang baik bagi meneruskan momentum untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). “Jika nak berjaya perangi jenayah perlu tentukan kekuatan dalam semua aspek bukan sahaja anggota dan tiga nilai yang dinyatakan tetapi juga kemahiran-kemahiran baru seperti teknologi, alat komunikasi terbaik serta dalam semua aspek,” katanya. Perdana Menteri memberi contoh balai polis bergerak yang ada perlu mempunyai kelengkapan alat komunikasi lebih efisyen agar para anggota di balai mudah berhubung dan mengambil tindakan secepat mungkin sekiranya kejadian jenayah berlaku. — Bernama

Pengiktirafan terhadap polis




Najib Tun Razak menyempurnakan upacara pelancaran Pelan Integriti PDRM sambil diperhatikan oleh Hishammuddin Tun Hussein dan Musa Hassan sewaktu sambutan ulang tahun Hari Polis ke-203 di Pulapol, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 25 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian elaun bulanan sebanyak RM200 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara, berkuatkuasa serta merta.
Imbuhan sempena ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 yang disambut hari ini itu melibatkan peruntukan sebanyak RM84 juta setahun kepada lebih 33,000 anggota lain-lain pangkat.
Anggota tugas-tugas am adalah mereka yang menjalankan pelbagai jenis tugas di ibu pejabat polis daerah, balai dan pondok polis di seluruh negara.
Antara tugasan mereka ialah berurusan dengan orang ramai di kaunter pertanyaan, menjaga lokap, mengadakan sekatan jalan raya, rondaan di kawasan bertugas dan mengawasi sesuatu acara di kawasan mereka.
Perdana Menteri pada masa yang sama turut mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meminda Pekeliling Perkhidmatan 2009 sekali gus membolehkan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan atau time-based terhadap seramai 52,000 anggota PDRM pangkat konstabel, lans koperal dan koperal.
“Berikutan pindaan ini, mereka yang berpangkat konstabel akan dinaikkan pangkat sebagai lans koperal selepas tiga tahun berkhidmat, manakala kenaikan pangkat lans koperal ke koperal selepas lima tahun.
“Selain itu, balai-balai polis yang cemerlang dan terbaik akan diberi penghargaan khas berdasarkan pencapaian dan prestasi baik yang ditunjukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kedua-dua timbalan beliau, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, timbalannya, Tan Sri Ismail Omar serta pegawai-pegawai atasan PDRM.
Pengumuman Perdana Menteri ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan untuk semua anggota PDRM berpangkat konstabel hingga koperal yang turut melaksanakan tugas mereka mengawal keselamatan negara.
Hishammuddin pada 20 Mac lalu memberitahu, Perdana Menteri akan mengumumkan penyelarasan gaji anggota lain-lain pangkat sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis kali ini.
Sebelum ini, pada awal Februari lalu, kerajaan mengumumkan skim gaji dan elaun baru anggota polis berpangkat sarjan ke atas.
Sementara itu, menurut Najib, kerajaan memberi jaminan akan terus menyokong PDRM dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan misi mengurangkan kadar jenayah di negara ini.
“Apabila usaha menurunkan kadar jenayah menjadi misi nasional, ia adalah agenda kerajaan termasuk polis, menteri dan saya selaku Perdana Menteri turut bertanggungjawab memastikan ia berjaya.
“Jika usaha ini gagal, saya akan turut menanggung bebannya. Namun, janganlah jadikan kegagalan itu sebagai satu pilihan kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu berjuang untuk menjayakan usaha ini,” tegas Perdana Menteri.
Beliau pada masa yang sama turut melahirkan rasa bangga apabila PDRM berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 13 peratus di seluruh negara sepanjang Januari dan Februari ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Malah, kata Najib, kerajaan yakin PDRM akan membantu menurunkan kadar jenayah melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu keseluruhan sebanyak 5 peratus dan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun 2010.
Menurut Perdana Menteri, cabaran yang dihadapi oleh PDRM kini semakin besar kerana perubahan persekitaran dan jangkaan rakyat selain arus permodenan.
Namun, bagi beliau, jika setiap anggota dan pegawai PDRM mengamalkan tiga nilai utama iaitu kesetiaan berdasarkan Perlembagaan, integriti serta keberkesanan dan keberhasilan, cabaran itu akan mudah dicapai, khususnya dalam mengurangkan jenayah dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan ini.



Elaun RM200 iktiraf jasa polis

KUALA LUMPUR 25 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan pengumuman beberapa insentif baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Polis hari ini sebagai satu pengiktirafan kepada pengorbanan pasukan itu.
Insentif tersebut, katanya, akan menyemarakkan lagi semangat para anggota khususnya lain-lain pangkat untuk berbakti secara ikhlas dan jujur, sesuai dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan.
"Selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, saya berasa amat terharu kerana bersetuju memberikan peruntukan tambahan sebagai ganjaran kepada pegawai dan anggota saya khususnya anggota berpangkat rendah yang bertungkus lumus selama ini menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
"Pengumuman yang membuatkan diri saya terperanjat ialah apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberian elaun tambahan RM200 kepada setiap anggota polis untuk tugasan am, satu elaun yang tidak diberi selama ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perbarisan Perdana sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemberian elaun bulanan sebanyak RM200 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara dan skim kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan atau 'time-based' bagi anggota berpangkat konstabel, lans koperal dan koperal.
Musa berkata, pengenalan imbuhan-imbuhan baru dalam penyelarasan skim gaji baru yang diumumkan termasuk sebelum ini, diharap mampu menarik minat orang ramai terutamanya golongan bukan Melayu untuk menyertai PDRM.
Menurut beliau, skim-skim baru sedemikian akan memberi nafas baru kepada imej polis dan mengubah persepsi bahawa kerjaya polis tidak lagi menawarkan gaji rendah.
"Kita juga mahu mewujudkan peluang mengembangkan kerjaya kepada pegawai dan anggota polis agar ia memberi motivasi kepada mereka untuk bekerja lebih keras untuk naik pangkat.
"Kita mahu pastikan mereka tidak kekal di sesuatu pangkat sebaliknya bergerak maju ke ke peringkat yang lebih tinggi," jelas Musa.

Hari Polis disambut penuh bersemangat

KUALA LUMPUR 25 Mac - Ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 yang diraikan hari ini disambut dengan penuh bersemangat di seluruh negara, melibatkan semua peringkat termasuk ibu pejabat polis daerah (IPD) dan kontinjen.
Sambutan utama diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini dengan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Di Kangar, seramai 72 orang menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis negeri atas jasa mereka terhadap pasukan.
Selain itu, seramai 16 anggota, pegawai dan kakitangan awam turut menerima sijil juara disiplin.
Di Ipoh, sambutan kali ini diketuai oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof dan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Di Johor Bahru, seramai 11 anggota dari kontinjen negeri menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara.
Sijil tersebut diberikan atas sumbangan mereka menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste bermula 1 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.
Selain itu, seramai 103 anggota polis termasuk orang awam menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Johor, manakala Balai Polis Gelang Patah dinobatkan sebagai Balai Polis Contoh.
Di Kuala Terengganu, sambutan Hari Polis diketuai oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil.
Di Pulau Pinang, polis negeri menjadikan sambutan Hari Polis untuk menghargai peranan yang dimainkan oleh Persatuan Keluarga Polis (Perkep).
Tujuh pegawai dan masing-masing empat anggota dan kakitangan awam menerima surat penghargaan.

Ciuman tahniah


Shawal Shaari menghadiahkan ciuman tahniah kepada isterinya, Normah Darus yang menerima kenaikan pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, semalam.




Sambutan Hari Polis ke-203 semalam, bukan sahaja diraikan dengan penuh semangat tetapi memberi makna kepada mereka yang terpilih menerima sijil penghargaan atau kenaikan pangkat.
Bagi Normah Darus, beliau mendapat dua kali kegembiraan apabila bukan sahaja dinaikkan pangkat kepada sarjan tetapi mendapat ciuman tahniah daripada suaminya, Sub Inspektor Shawal Shaari.
Normah antara 38 anggota dan pegawai dari seluruh Perlis yang menerima kenaikan pangkat tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.
Pasangan bahagia itu telah mendirikan rumah tangga selama 27 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara 21 dan 25 tahun.







Juliana 2 tahun bertugas, kendali 300 kes

KUALA LUMPUR 25 Mac - Sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 hari ini pasti manis dan bermakna buat seorang inspektor wanita muda yang baru menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tiga tahun lalu.
Jika ditolak tempoh setahun yang dihabiskan untuk menjalani latihan asas kepolisan, sebenarnya dia baru saja bertugas selama dua tahun.
Tempoh itu mungkin singkat, namun Juliana Kassim, 29, yang merupakan Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Seremban, Negeri Sembilan, boleh dikatakan seorang pegawai polis wanita yang cukup berkemampuan.
Apa tidaknya, dia telah membuka dan mengendalikan hampir 300 kertas siasatan membabitkan kes-kes dadah dalam tempoh dua tahun.
Berikutan komitmen tinggi itu melayakkan beliau dipilih sebagai Pegawai Penyiasat JSJN Cemerlang yang diterimanya hari ini daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Juliana ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu, dia berpuas hati kerana segala titik peluh yang dicurahkan selama ini berbaloi kerana diiktiraf pucuk pimpinan.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat, beliau ternyata membuat keputusan tepat untuk menyertai PDRM.
"Anugerah ini akan dijadikan sebagai batu loncatan untuk saya terus gigih menabur bakti kepada pasukan polis," katanya kepada Utusan Malaysia selepas tamat Perbarisan Perdana sempena ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Seorang lagi penerima, Tani Clace Sebastian, detektif Cawangan Khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, pula berasa amat bangga dan terharu kerana menerima anugerah bagi kategori itu daripada pemimpin tertinggi negara.
Dia yang telah berkhidmat selama 33 tahun bersama PDRM, juga merupakan atlet jalan kaki yang pernah mewakili PDRM ke temasya sukan polis antarabangsa dan pernah memenangi beberapa pingat emas, sekali gus mengharumkan nama negara.
"Saya berasa amat bangga dan gembira kerana pertama kali dipilih untuk menerima anugerah kecemerlangan di peringkat Bukit Aman kerana sebelum ini hanya pernah menerima di peringkat kontinjen," ujarnya.
Selain Juliana dan Tani Clace, terdapat seramai 10 lagi pemenang lain untuk pelbagai kategori.
Pada majlis hari ini juga, dua pegawai serta empat anggota dari Bukit Aman, termasuk empat daripada Unit Tindakan Khas (UTK) turut dinaikkan pangkat.
Mereka menerima kenaikan satu pangkat lebih tinggi berbanding pangkat yang dimiliki sebelumnya.
Mereka ialah pemangku Deputi Supritendan (DSP) Mohd. Zaini Mohd. Akhir dari Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan), pemangku DSP Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi - UTK; Sarjan Mohd. Hatta Taha - Cawangan Khas; Sarjan Mejar Nordin Yusoff - UTK; Sarjan Mejar Ramle Harun - UTK; Sarjan Mohd. Tarmizi Husin - UTK.


sumber dipetik daripada Utusan Malaysia Online, 26 Mac 2010
__________________________________________________________________


Sempena Hari Polis Ke-203: Integriti, profesionalisme PDRM berjaya turunkan indeks jenayah
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/03/25

Kerjasama masyarakat perlu pastikan keamanan negara terpelihara

KETUA Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mungkin antara individu terkenal tempatan paling banyak mendapat liputan media sepanjang bulan ini berikutan timbul pelbagai ‘cerita panas’ mengenai diri dan kerjaya kepolisan beliau. Antaranya, desas-desus peletakan jawatan beliau yang dikatakan atas desakan pihak tertentu sekali gus menyaksikan rombakan besar-besaran di Bukit Aman, selain dakwaan berlaku pergeseran antara beliau dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Biarpun sudah berkali-kali Hishammuddin dan Musa menafikan, ia masih menjadi bualan hangat di kalangan pengamal media tempatan dan orang ramai sendiri. Malah ada yang tidak sabar-sabar menunggu kesudahan ‘drama polis’ itu. Namun, apa pun yang berlaku, ia langsung tidak menggugat fokus anak sulung kepada guru agama, Tan Sri Hassan Azahari, itu terhadap tugas pentingnya, termasuk dalam menjayakan usaha menurunkan indeks jenayah di negara ini, selain pembangunan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini terbukti dengan penurunan indeks jenayah di seluruh negara sebanyak 13.2 peratus sepanjang dua bulan pertama tahun ini, yang dilihat mampu mencapai sasaran penurunan 20 peratus dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Malah, perangkaan menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu itu jelas menggambarkan komitmen tinggi dan semangat juang di kalangan warga kerja PDRM dalam mencapai sasaran ditetapkan kerajaan. Bagi Musa, pencapaian itu lebih dianggap sebagai ‘hadiah istimewa’ pasukan berkenaan kepada kerajaan dan rakyat sempena sambutan Hari Polis Ke-203 hari ini.

“Kali ini agak istimewa sedikit kerana saya baru dimaklumkan indeks jenayah di seluruh negara sepanjang dua pertama tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini jelas membuktikan kemampuan kita mencapai sasaran itu dan mengekalkan kedudukan PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang disegani dengan adanya warga kerja yang kompeten dan berintegriti dalam menjalankan tugas secara adil serta profesional,” katanya.
Beliau yang begitu bersemangat dalam wawancara khas di pejabatnya kelmarin sempena Hari Polis Ke-203, turut memberi jaminan Pelan Strategik 5 Tahun (PS5T) akan diteruskan kesinambungannya, dengan dengan tumpuan kepada keperluan logistik dan sumber manusia.

Menurutnya, pelan yang dilancarkan dua tahun lalu itu amat penting dalam menunaikan janji PDRM kepada masyarakat iaitu mengurangkan kadar jenayah, selain memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Ia termasuk penambahan balai polis di seluruh negara, selain jumlah keanggotaan seramai 60,000 untuk tugasan lapangan bagi memastikan kehadiran polis dirasai masyarakat sekali gus mencetuskan rasa gerun kepada penjenayah.

“Seramai 20,000 anggota terbabit dalam tugasan lapangan untuk NKRA dan jumlah itu belum mencukupi. Anggota baru yang kita ambil pun baru 10,000 orang setakat ini. Masih ada banyak kekosongan yang akan diisi dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menjelaskan masih banyak perancangannya dalam PS5T belum dapat dilaksanakan disebabkan faktor berkaitan, termasuk kekangan ekonomi.

Antaranya, pembelian sistem komunikasi berintegrasi yang dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi PDRM.

Bagaimanapun, perancangan itu diyakininya akan dilaksanakan secara berperingkat pada masa depan kerana keperluan terhadapnya memang ada.

Musa yang kontrak perkhidmatannya selama setahun dijadualkan berakhir 12 September ini turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan skim perkhidmatan baru yang mampu meningkatkan tahap profesionalisme kerjaya kepolisan di negara ini.

Melalui skim baru itu, jawatan inspektor dinaik taraf, manakala sarjan berkelulusan diploma boleh dilantik untuk membantu tugas penyiasatan, sekali gus mengatasi beban tugas menyiasat ditanggung pegawai penyiasat (IO) ketika ini.

“Seorang IO sekarang terpaksa mengendalikan purata 15 kes sebulan hingga mendatangkan beban. Padahal, kajian yang dibuat mendapati nisbah ideal ialah lima kes bagi seorang IO. Kita berterima kasih kerana masalah ini mendapat perhatian kerajaan.

“Ini juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan proses siasatan yang sebelum ini dipertikaikan, dengan kelemahan itu turut menyebabkan ada kes terpaksa digugurkan. Dengan pertambahan itu, tugas siasatan akan dibuat secara berkumpulan, bukan lagi secara bersendirian,” katanya.

Tumpuan juga, katanya, turut diberikan kepada pembangunan modal insan melalui program latihan berterusan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Ini termasuk pendedahan dalam perkara berkaitan hak asasi kemanusiaan. Malaysia sebuah negara demokrasi dan isu hak asasi kemanusiaan ini sentiasa dipandang serius.

“Dengan adanya pendedahan sebegini, kita dapat memastikan setiap tindakan diambil mengikut lunas undang-undang dan diterima masyarakat,” katanya.

Musa turut mengulangi amaran kerasnya tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kes salah laku dan rasuah.

Katanya, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana boleh menghilangkan kepercayaan dan rasa hormat rakyat pada pasukan.

“Sebagai penguasa undang-undang, isu integriti amatlah penting. Jangan sampai keyakinan rakyat pada kita hilang hanya disebabkan kita tiada integriti.

“Justeru, jangan ada yang salah guna kuasa dan mengambil rasuah. Jika ada yang melakukannya, kita tidak akan bertolak ansur dan hukumannya sama saja dengan orang lain yang melakukan jenayah.

Tiada pegawai dan anggota polis mempunyai kekebalan dari undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, PDRM akan menggunakan pendekatan lebih mesra rakyat dalam melaksanakan tugas harian.

“Kita tidak mahu wujud jurang dengan masyarakat kerana kerjasama mereka amat penting dalam memerangi jenayah. Ini bertepatan dengan slogan pasukan - Tegas, Adil dan Berhemah - yang dilihat mampu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“Jika semua perancangan itu dapat dilaksanakan, maka tercapai hasrat saya melihat sebuah pasukan (polis) yang mantap, yang diimpikan selama ini. Inilah yang saya harapkan dari pegawai dan anggota saya sempena Hari Polis Ke-203,” katanya.

Namun, Musa menegaskan sekiranya perancangan itu memperoleh kejayaan, ia bukan untuk dirinya sebaliknya pasukan, begitu juga rakyat Malaysia.

“Yang penting, keyakinan dan kepercayaan rakyat pada kita mesti ada. Tanpa sokongan masyarakat umum, sudah tentu usaha memerangi jenayah tidak akan berjaya kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Minda Pengarang: Institusi PDRM wajar diperkukuh seiring kemajuan negara


2010/03/26

TAHNIAH diucapkan kepada seluruh pegawai dan anggota polis sempena ulang tahun ke-203 penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sekalung terima kasih juga diucapkan kepada keluarga mereka yang memahami tugas dan pengorbanan anggota keluarga dalam perkhidmatan polis. PDRM membuktikan keupayaannya menjamin keselamatan rakyat dan negara.

Sepanjang tempoh kewujudannya, PDRM melalui pelbagai kemajuan dan rintangan. Selepas melalui ranjau dan duri, PDRM kini memiliki kemampuan setaraf pasukan polis di negara maju. Dalam aspek tertentu seperti membanteras kegiatan subversif dan menyelesaikan jenayah, PDRM mempunyai pengalaman dan kemahiran yang tidak dimiliki pasukan lain di mana-mana negara di dunia. Setiap anggota polis menggalas tanggungjawab dengan penuh komitmen, setia dan tidak mengenal tempat atau masa.Pengorbanan dan khidmat anggota PDRM diberi pengiktirafan yang tinggi oleh rakyat. Sewajarnya anggota dan pasukan polis diberi ganjaran yang tinggi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan sambutan Hari Polis Ke-203 di ibu negara semalam, mengumumkan beberapa insentif kepada pegawai dan anggota pasukan itu sebagai dorongan untuk memberi khidmat terbaik. Pengumuman elaun bulanan RM200 untuk 33,000 pegawai dan anggota yang menjalankan tugas am itu, adalah pengiktirafan dan pernyataan penghargaan kepada anggota polis. Institusi PDRM sewajarnya diperkukuh seiring dengan kemajuan negara dan pemikiran rakyat. Mereka kini menghadapi pelbagai bentuk jenayah terancang, jenayah siber dan jenayah perdagangan yang kian kompleks. Semua ini memerlukan tindakan untuk memperkasa setiap anggota dengan kemahiran, ilmu dan profesionalisme yang tinggi. Hari ini, usaha mengurangkan kadar jenayah disenaraikan dalam enam perkara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mulai 2010. Untuk mencapainya, integriti keseluruhan anggota polis perlu diperkukuhkan.

Kemahiran dan mempersiapkan dengan kelengkapan canggih mesti dipertingkatkan bagi membolehkan mereka berkhidmat dengan berkesan. Semua tindakan itu membantu meningkatkan persepsi baik awam terhadap keselamatan yang terletak dalam bidang, tanggungjawab serta kemampuan polis. Dalam proses melaksanakan NKRA mengurangkan jenayah, polis disarankan merumus beberapa strategi baru yang sesuai dengan tuntutan masa. Ini termasuk usaha memerangi pengedaran dadah yang sekian lama menjadi musuh utama negara dan rakyat. Selagi masalah dadah tidak diatasi, ia akan mendorong berlakunya jenayah yang lain.

Kita akui, pasukan polis tidak boleh menyelesaikan masalah jenayah seperti dilihat menerusi siri jenayah di televisyen yang mengambil masa hanya dua jam. Gerakan memburu jenayah memerlukan masa panjang, selain kemahiran dan ilmu membanteras kegiatan jenayah secara berkesan. Kita bersyukur kerana pelbagai usaha kini dilakukan untuk membanteras jenayah demi memastikan rakyat hidup aman dan damai.

Sumber Berita Harian Online, 26 Mac 2010
___________________________________________________________________

Lagu Polis

Sedia Berkhidmat
Polis sedia berkhidmat
Kerana negara dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat
[Chorus]
Polis sedia berkhidmat
Kerana negara dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat
Tanda lekat di lengan
Polis dengan pereman
Tangan bersalaman
Alamat persahabatan
[Chorus]
Budak-budak pergi sekolah
Yang tua berjalan ke kedai
Polis pimpin menyeberang jalan
Semuanya selamat sampai
[Chorus]
Waktu kita bekerja
Rumah tinggal dijaga
Itulah tandanya
Polis sedia berkhidmat
[Chorus]
Bila kebakaran berlaku
Jiran tiada di situ
Polis berlari tolong bantu
Anak tidur selamat tentu
[Chorus]

Lagu: Polis Sedia Berkhidmat



Waris Alam mengucapkan Selamat Ulang Tahun Hari Polis Ke 203...Semoga semua warga PDRM terus cemerlang dan gigh menjalankan tugas yang dipikul...Jasa dan bakti warga PDRM menjadikan bumi Malaysia aman tenteram dan selamat....Polis Sedia Berkhidmat... Integriti Amalan Kita...Tegas Adil dan Amanah....Selamat Maju Jaya Warga PDRM...

No comments:

Post a Comment