Wednesday, March 31, 2010

MEB: Terima Kasih Datuk Seri...

PM lancar Model Ekonomi Baru



Najib Tun Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan melonjakkan ekonomi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.
Perdana Menteri berkata, pelbagai strategi akan dilaksanakan melalui MEB yang antara lain melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun.
"MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ia menjanjikan pulangan lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini," katanya semasa berucap pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini, hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, keutamaan MEB adalah untuk menangani masalah jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
"Sehubungan itu, adalah perlu MEB memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik.
"Ia akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat seperti mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang seringkali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara.
"Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar," katanya.
Sehubungan ini, katanya, laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia - dari segi individu dan wilayah.
"Merekalah merupakan golongan yang kurang bernasib baik yang masih memerlukan perhatian khusus.
"Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara," tambahnya.
Oleh itu, tegas Perdana Menteri, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksana berdasarkan empat prinsip yang mesra pasaran, merit, telus dan keperluan.
Najib berkata, sebagai contoh, kerajaan akan mewujudkan proses tender yang telus dengan peraturan jelas bagi golongan bumiputera Melayu dan pribumi lain.
Katanya, secara praktiknya, pendekatan itu bermakna sokongan kepada bumiputera akan dipertingkatkan dan dilakukan berdasarkan kepada keperluan, bukannya mengikut bangsa.
Mengenai usaha mewujudkan negara berpendapatan tinggi, beliau berkata, keadaan itu akan juga memberi kesan kepada upah pekerja yang lebih tinggi di dalam ekonomi.
Katanya, pertumbuhan itu bukan sahaja daripada segi modal, tetapi juga produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual.
"Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, inovasi dan kreativiti, serta peningkatan kecekapan adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta," katanya.
Beliau menambah, pelaburan dan persaingan pasaran untuk mendapatkan bakat terbaik juga akhirnya akan mewujudkan suasana pembayaran upah yang tinggi.
Najib juga menegaskan, dalam memberikan rakyat kehidupan berkualiti, MEB mesti bertunjangkan kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi mapan yang mengambil kira kesan ke atas persekitaran dan sumber asli.
"Tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang," katanya.
 _______________________________________________________________________

Lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik jayakan MEB

KUALA LUMPUR 30 Mac - Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) menggariskan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjayakan Model Ekonomi Baru (MEB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lapan inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada:


  • Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;




  • Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;




  • Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;




  • Memperkukuhkan sektor awam;




  • Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;




  • Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;




  • Meningkatkan sumber pertumbuhan;




  • Memastikan pertumbuhan yang mapan.



  • Perdana Menteri berkata, kesemua lapan inisiatif itu adalah saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi.
    ''Ketiga-tiga matlamat MEB iaitu berpendapatan tinggi, kemapanan dan keterangkuman memerlukan kita mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi untuk dekad seterusnya.
    ''Oleh itu, dasar-dasar yang perlu kita laksanakan mesti menyentuh isu-isu asas bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dipercepatkan melalui pendekatan yang holistik untuk menghapuskan semua halangan," katanya ketika berucap pada persidangan Invest Malaysia 2010 di sini hari ini.
    Menurutnya, matlamat itu memberi penekanan kepada bina upaya bukan hanya pembangunan negara semata-mata sebagai langkah mencapai pembangunan yang mapan.
    Sebagai tambahan kepada laporan NEAC itu, beliau mahu tumpuan diberikan secara efektif ke atas sektor utama yang spesifik atau dikenali sebagai Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEAs).
    ''Ini adalah bidang di mana ekonomi negara mempunyai potensi untuk terus maju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.
    Berdasarkan pendekatan baru NEAC yang menyatakan bahawa sektor swasta perlu memacu pertumbuhan, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu meningkatkan peranan sebagai fasilitator kepada pihak industri untuk berkembang maju.
    Mengulas lanjut, katanya, majoriti inisiatif yang telah diwujudkan adalah berkaitan dengan semua faktor yang penting dalam memperbaiki hala tuju ekonomi negara.
    ''NEAC telah mengenal pasti sektor utama untuk membolehkan ekonomi negara maju dan berdaya saing dengan rakyatnya menikmati kualiti hidup yang tinggi serta berpendapatan tinggi hasil daripada pertumbuhan yang mapan.
    ''Banyak lagi yang perlu kita lakukan namun bagi meraih peluang yang ada sepenuhnya, kita perlu memberi fokus ke atas sektor-sektor utama ini," katanya.

    _______________________________________________________________________

    MEB rancakkan pelaburan asing

    KUALA LUMPUR 30 Mac - Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merancakkan lagi kemasukan pelaburan pelabur-pelabur asing ke negara ini.
    Penasihat Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), Datuk Jamelah A. Bakar berkata, langkah itu juga dilaksanakan tepat pada masanya bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap situasi ekonomi negara.
    "Kita percaya dengan langkah mewujudkan MEB ini juga ia akan berupaya merancakkan lagi pasaran saham yang telah muram sejak selepas pilihan raya umum lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
    Perdana Menteri hari ini mengumumkan intipati MEB antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibenar melabur lebih banyak lagi di dalam aset di seberang laut.
    Melalui MEB juga, Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan untuk membolehkannya berfungsi dengan lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.
    Jamelah berkata, melalui pelaksanaan MEB juga, sebarang langkah yang dibuat kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing adalah amat baik.
    Namun katanya, pada masa sama, rakyat tempatan haruslah diasuh untuk mengambil alih tempat pekerja asing dengan gaji yang dibayar juga perlulah bersesuaian dan tinggi bagi menarik minat mereka.
    "Kita yakin apa juga yang telah dibentangkan Perdana Menteri pada MEB sememangnya bertujuan membawa rakyat dan negara ke satu tahap ekonomi yang lebih tinggi pada masa depan.
    "Namun segalanya bergantung kepada pelaksanaan yang baik dan berkesan seperti kerenah birokrasi terutama dalam membawa pelabur asing masuk," katanya.

     Sumber berita dipetik daripada Utusan Malaysia Online bertarikh 31 Mac 2010, www.utusan.com.my

    No comments:

    Post a Comment