Saturday, January 2, 2010

Perginya seorang Tokoh

Takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Mohamed Rahmat....Semoga rohnya bersemadi dengan aman dan dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama golongan orang2 yang beriman....Al Fatihah....

Tok Mat meninggal tiga hari sebelum ulang tahun ke-72









KUALA LUMPUR 1 Jan. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat (gambar) meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara dekat sini pagi ini, tiga hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin ini.
Allahyarham yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dilaporkan meninggal dunia sewaktu tidur kira-kira pukul 8 pagi ini.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Salbiah Abdul Hamid, tiga orang anak iaitu Datuk Nur Jazlan, Nur Jazman dan Nur Jasni serta lima orang cucu.
Salbiah ketika ditemui memberitahu menyedari suaminya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu telah tiada ketika cuba mengejutkannya dari tidur bagi menghentikan rawatan dialisis hariannya yang dilakukan sejak pukul 10.30 malam tadi.
''Beliau meninggal dalam tidur, apabila saya cuba mengejutkannya saya dapati beliau sudah tiada," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Salbiah memberitahu, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil sebelum meninggal dunia.
Sementara itu, Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai memberitahu, ayahnya kelihatan ceria selepas buku UMNO: Akhir Sebuah Impian tulisannya dilancarkan pada 12 Oktober lalu.
''Beliau nampak ceria dan gembira sepanjang seminggu ini, tiada tanda-tanda seperti hendak pergi," jelasnya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada pukul 5.45 petang ini.
Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkhidmat sebagai Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu pada 1978 hingga 1982 ketika kepimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dan dari 1987 hingga 1999 semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Semasa menyandang jawatan itu, Allahyarham memperkenalkan Program Setia Bersama Rakyat (Semarak) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara.
Ketegasannya dalam menyelesaikan isu disiplin artis tempatan pula terserlah apabila mengarahkan penyanyi genre rock tempatan memotong rambut jika mahu menyertai program di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Allahyarham juga pernah memegang jawatan penting dalam parti iaitu sebagai Setiausaha Agung UMNO sejak 1988 hingga 1996 dan Setiausaha Agung BN dari 1988 sehingga 1999.
Antara sumbangan besarnya kepada parti adalah apabila berjaya menyatupadukan kembali UMNO selepas diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah pada 1988.

(Dipetik dari Utusan Malaysia, 2 Januari 2010)

No comments:

Post a Comment