Sunday, September 13, 2009

Jasa ATM di Sempadan Negara

Operasi di perbatasan dipertingkat

Oleh ZULHISHAM ISHAK
utusansabah@utusan.com.my


TAWAU 12 Sept. – Ops Balasah dan Ops Pasir akan dipertingkatkan di kawasan sempadan khususnya pada Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin.

Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Masrani Paiman berkata, operasi di darat dan laut itu perlu bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menceroboh sempadan negara pada musim perayaan.“Semua operasi akan berjalan seperti biasa. Kita mempunyai enam pos tentera yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia iaitu di Serudong, Kalabakan, Seliku, Bantul, Saliliran dan Long Pasia.

“Cubaan penyeludupan memang ada tetapi dapat kita dipatahkan. Begitu juga operasi di pulau-pulau yang melibatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan lain akan tetap diteruskan sepanjang raya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat kepada media sempena lawatannya ke Pos Serudong, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot laju dari sini, semalam.Dalam lawatan ke pos yang hanya terletak kira-kira empat kilometer dari Indonesia itu, Masrani turut menyampaikan sumbangan kuih raya kepada semua anggota tentera yang akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.

Masrani berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) bagi memastikan kawasan sempadan masing-masing tidak dicerobohi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan anggota tentera yang bertugas di sempadan supaya terus mengekalkan disiplin yang tinggi dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Menurutnya, faktor tersebut penting kerana anggota tentera Malaysia diiktiraf oleh pihak antarabangsa sebagai pasukan yang mempunyai disiplin yang tinggi.

(SUMBER DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2009)

No comments:

Post a Comment