BERDOSA TIDAK BAYAR ZAKAT FITRAH
SOALAN 1:
Ada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya? Saya keliru kerana ada yang kata boleh.
Jawapan:
Menunaikan zakat fitrah adalah wajib yang mutlak di dalam Islam dan mengabaikannya adalah haram dan berdosa di sisi Allah SWT. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: Rasulullah telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Hikmah zakat fitrah adalah untuk membersihkan orang-orang yang berpuasa daripada kelalaiannya, Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada bicara yang tiada manfaatnya dan kata-kata kotor". (riwayat Abu Daud).
Ulama fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran.
Namun, jika kerana terlupa, maka hendaklah segera dia menunaikannya walau sudah terlepas waktunya (menjadi qada) dan segeralah memohon ampun kepada Allah SWT di atas kelalaiannya sebelum itu. Wallahua'lam.
Soalan 2:
Adakah zakat fitrah boleh ditunaikan seawal Ramadan atau sebaik-baiknya ditunaikan sebelum solat sunat Aidilfitri?
Jawapan:
Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: "Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan".
Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Tsuri dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan.
Abu Hanifah, Imam Laits dan Abu Tsaur pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.
Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri.
Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.
Soalan 3:
Seorang miskin tidak wajib menunaikan zakat harta tetapi wajib pula menunaikan zakat fitrah, bolehkah dijelaskan keadaan ini?
Jawapan:
Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Abu Hurairah r.a menyatakan: Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya - daripada kalangan kaum muslimin. (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, rujuk Hukum Zakat, al-Qardhawi, hal. 927).
Ini kerana, zakat harta mempunyai syarat nisab (batas minima kekayaan) yang berbeza dengan zakat fitrah. Nisab zakat harta adalah 85 gram emas pada harga semasa; sedangkan zakat fitrah meletakkan, mereka yang mempunyai makanan dari malam raya sehingga keesokan harinya (sehari semalam) adalah dianggap wajib menunaikan zakat fitrah. Di samping itu, kadar zakat fitrah juga disandarkan kepada nilai segantang Baghdad makanan asasi (2.7 kg), iaitu kadar yang dianggap rendah dan tidak membebankan golongan miskin bagi menunaikannya.
Jika seseorang itu tidak mempunyai makanan yang mencukupi bagi diri dan keluarganya pada sehari semalam pada hari raya, maka terlepaslah kewajipan zakat fitrah ke atas dirinya
(sumber daripada Utusan Malaysia, 08 September 2009)
Tuesday, September 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment