Thursday, February 25, 2010

Dimensi Politik: Menuju Budaya Ahli Politik Berilmu, Berintegriti dan Ikhlas Bekerja

  • Istilah politik dikaitkan dengan proses atau perjalanan sesebuah negara, pemerintahan, kepartian dan juga kelakuan ahli politik itu sendiri (Ahmad Atory Hussain, 2002). Secara peribadi saya berpendapat politik ialah proses pembentukan kuasa melalui undi rakyat dan pembahagian kuasa yang wujud dalam masyarakat bagi menjalankan proses membuat keputusan. Ini bermakna politik sangat berkait rapat antara kuasa dan pengaruh dalam mewujudkan sebuah kepimpinan yang baik dalam mewujudkan persekitaran ekonomi yang seimbang serta sentiasa memastikan kesejahteraan, keharmonian serta kebajikan rakyat terpelihara. Pembentukan kuasa melalui politik memerlukan kewujudan institusi yang sah serta berfungsi dengan berkesan secara keseluruhannya kerana ia melibatkan pentadbiran dasar-dasar kerajaan dan pembentukan rancangan pembangunan negara. Menurut Ismail Ishak et al. (2008), politik memainkan peranan dalam menentukan dasar dan arah tuju sesebuah kerajaan yang memerintah, juga digunakan untuk membangunkan sosio-ekonomi, membina negara (state building) dan negara bangsa (nation state). Menurut Rahimah Abduk Aziz, (2008), politik melibatkan hubungan antara negara dan rakyat kerana ia melibatkan penggunaan kuasa dan bergantung pada kerjasama serta persetujuan rakyat yang menjadi sasaran.

  • Oleh itu dalam pembangunan politik yang cemerlang dan matang perubahan besar perlu dilakukan dalam aspek politik negara bagi mewujudkan komuniti ahli politik yang berkredibiliti, berintegriti dan mempunyai misi masa depan bagi menerokai kejayaan kepada negara, bangsa dan agama. Saya sangat bersetuju dengan pendapat dan cadangan yang dikemukan oleh Yang Berhormat Datuk Saifuddin Abdullah, Timb.Menteri Pengajian Tinggi dalam bukunya iaitu ' Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia. Beliau telah  membuka lembaran baru dalam dunia politik dengan mencadangkan satu idealisme politik yang mementingkan ilmu tentang pemerintahan. Menurut beliau dalam buku tersebut, ahli politik seharusnya kaya dengan idealisme politik dan memiliki kepakaran atau kemahiran dalam sesuatu bidang iaitu sesuatu yang akan memberikan nilai tambah dalam partisipasi politiknya dan juga kepada rakyat.
  • Menurut Datuk Saifuddin lagi untuk merealisasikan suatu idealisme politik yang matang ialah dengan menghayati Konsep Intergriti Politik. Konsep integriti politik ini ialah politik ilmu bukan politik ampu, politik hikmah bukan politik fitnah dan politik bakti bukan politik undi. Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan konsep. Konsep ini mampu membentuk komuniti ahli politik yang bijaksana dan sentiasa melakukan sesuatu yang bermanfaat serta sentiasa mencari sesuatu yang baru atau dalam bahasa mudahnya meng"UPDATE" pengetahuan dan kemahiran agar kepimpinan sentiasa cemerlang.

  • Ketiga-tiga konsep ini merupakan satu formula yang perlu diterapkan dalam diri setiap ahli politk agar gejala cantas mencantas, politik wang, fitnah, kronisme dan sebagainya dapat dihapuskan dari gelanggang politik Malaysia. Budaya atau suasana politik yang menitikberatkan nilai ilmu serta mementingkan kepakaran setiap ahli politik akan membuka lembaran baru dalam politik negara. Politik negara akan lebih tenang dan tenteram tanpa sebarang rusuhan, demonstrasi, pergaduhan, fitnah dan saling menyalahkan.

  • Ahli politik perlu sedar bahawa mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat yang memilih mereka untuk berada dalam komuniti kepimpinan. Jadi harapan dan kehendak rakyat ialah melihat satu perubahan dalam pemerintahan yang lebih adil, saksama, mementingkan rakyat dan peka pada setiap permasalahan yang wujud dalam masyarakat yang berbilang kaum.

  • Perubahan dalam politik akan memantangkan demokrasi di Malaysia,kepimpinan akan lebih cemerlang serta tiada lagi budaya negatif di Parlimen. Politik Malaysia memerlukan ahli politik yang berilmu dan bukan seorang yang suka merapu sehingga menjejaskan pentadbiran negara. Politik Malaysia perlu membuka ruang kepada gologan cendekiawan yang betul-betul ikhlas dalam perjuangan politik bagi memastikan kelansungan kemajuan dan pembangunan negara berterusan. 

Rujukan

  1. Rahimah Abdul Aziz. (2001). Pengantar Sosiologi Pembangunan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 
  2. Ahmad Atory Hussain. (2002). Politik dan Dasar Awam Malaysia. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd.
  3. Ismail Ishak et al. (2008). Hubungan Etnik: Konsep dan Amalannya di Malaysia. Kuala Lumpur. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
  4. Saifuddin Abdullah. (2008). Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment