Tuesday, September 29, 2009

Mencari Sinar Kehidupan

Menghayati kehidupan Islam di Perkim












SEBAHAGIAN daripada saudara baru membaca al-Quran di Pusat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia di Kota Bharu, baru-baru ini.













KOTA BHARU 28 Sept. – “Saya dilahirkan sebagai Islam tetapi sejak kecil amalan hidup sebagai orang Islam suatu yang asing dan tidak pernah ada dalam diri saya.
‘‘Saya terlibat dengan banyak aktiviti yang lari daripada ajaran agama suci ini kerana budaya hidup di sana tidak sama dengan masyarakat di sini.”
Demikian luahan Hassan Mohd. Ali, 37, seorang peguam yang dilahirkan dan membesar di Perth, Australia dan menjadi warga negara itu di mana keluarganya menetap.
Ibunya berasal dari Perak dan bapanya berasal dari Amerika Selatan, dan Hassan jarang sekali berpeluang datang ke Malaysia untuk melihat budaya masyarakat Islam, Melayu di tanah kelahiran ibunya.
Ketika ditemui di Pusat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini baru-baru ini, jejaka bertubuh sasa dan berkulit gelap ini mengakui bahawa kehidupannya sekian lama tidak ada bezanya dengan rakan-rakan yang berlainan agama.
“Saya buat banyak perkara yang bercanggah dengan agama. Aktiviti sosial saya sangat bebas dan tidak ada batu penghalangnya.
“Budaya di sana tidak sama dengan di negara ini sebab itulah ajaran Islam langsung tidak pernah saya amalkan dalam hidup ini,” katanya.
Bagaimanapun, semua perkara itu hanya tinggal sejarah dalam diri Hassan.
Hassan kini mengabdikan dirinya mempelajari semula ajaran agama yang diwarisinya walaupun terpaksa tidur di sebuah kediaman yang usang di Perkim Kota Bharu.
Menurutnya, gelaran ‘Serambi Mekah’ yang diberi kepada negeri Kelantan berjaya membuka hatinya untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu agama di sini.
“Kalau dulu saya tidak tahu apa-apa, kini saya sudah boleh mengaji dengan lancar dan melakukan sembahyang iaitu perkara yang diwajibkan.
“Kini saya faham kenapa perlu sembahyang, saya faham kenapa perlu berpuasa sebab itulah cara untuk kita mengelakkan diri daripada perbuatan tidak baik,” katanya.
Ketika diminta menceritakan pengalamannya berpuasa pada bulan Ramadan lalu, Hassan sendiri mengakui pada mulanya mengalami kesukaran bagaimanapun semua itu hanya dianggap sebagai dugaan.
Menurutnya, walaupun dilahirkan Islam, namun inilah kali pertama beliau menikmati ibadah puasa sepenuhnya dan merasai keghairahan serta kegembiraan menyambut Aidilfitri sebagai hari kemenangan.
“Saya sungguh gembira, dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru yang mempunyai niat sama menjadi seorang umat Islam yang baik,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Mohd. Ashfar Abdullah, 25, yang berasal dari Beufort, Sabah turut menyatakan rasa syukurnya kerana diberi peluang mendalami Islam.
Menceritakan pengalamannya, Ashfar yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang elektronik di Negeri Sembilan berkata, dia telah memeluk agama Islam sejak dua tahun lepas.
Namun ujarnya, tanpa bimbingan rapi daripada rakan sesama Islamnya sebelum ini menyebabkan dia tidak tahu apa-apa pun mengenai agama suci itu.
“Walaupun lepas peluk Islam, saya tetap hidup seperti bukan beragama Islam kerana tidak dibimbing dengan baik.
“Sehinggalah pada suatu hari rakan saya mendapat surat tawaran untuk belajar di sini tetapi dia tidak dapat datang sebab ada masalah.
“Saya segera menawarkan diri untuk menggantikan tempatnya kerana sedar inilah peluang yang tidak boleh saya lepaskan,” ujarnya pemuda berbangsa Kadazan ini.
Hassan dan Ashraf kini merupakan sahabat baik yang sama-sama menghambakan diri mendalami ilmu pengajian Islam di Perkim.
Mereka bersama-sama mendaftarkan diri di pusat Islam itu sejak Januari lalu dan akan menghabiskan pengajian pada penghujung tahun 2010.

(Sumber dipetik dalam Utusan Malaysia, 29 September 2009)

No comments:

Post a Comment