Tuesday, August 4, 2009

POLITIK PEMBANGUNAN : Kaitan dan Kesannya Kepada Pembangunan Negara Malaysia

Politik merupakan satu mekanisme untuk mengawal tingkah laku manusia atau cubaan untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan manusia supaya mengikut kehendak dan peraturan yang dibuat oleh individu tertentu yakni golongan yang mempunyai kelebihan dan kemampuan tertentu. Politik mempunyai kaitan antara kuasa dan pengaruh. Kuasa ini diperoleh sama ada melalui paksaan atau kerelaan orang ramai untuk mengiktiraf pengaruh dan keupayaan individu terbabit. Politik amat berkait rapat dengan pembangunan sama ada pembangunan modal insan mahupun pembangunan fizikal. Ideologi politik akan sentiasa mempengaruhi aliran pembangunan semasa. Kekuatan pengaruh politik akan sentiasa membayangi corak atau agenda pembangunan yang akan dibuat. Perbezaan ideologi politik akan mempengaruhi proses penyaluran pembangunan dan ini memberi tekanan kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kebanyakan proses penyaluran dan pengagihan pembangunan ini mempunyai kaitan rapat dengan corak atau tingkah laku politik yang mempunyai persamaan ideologi atau fahaman.

Kepimpinan politik yang berkesan dan matang akan memberi impak positif kepada pembangunan yang lebih efektif dan menyeluruh iaitu meliputi aspek modal insan dan pembangunan fizikal ( yakni melibatkan proses pembinaan struktur konkrit yang kukuh dan kekal ). Setiap perancangan pembangunan akan melalui struktur pentadbiran politik yang menekankan kepada input positif rakyat iaitu penerimaan secara rela akan kekuatan ideologi politik yang disebarkan. Penolakan ideologi politik akan menimbulkan konflik pengaruh dan wujudnya penentangan secara senyap melalui undi yang dilakukan seperti mana yang telah berlaku dalam pilihan raya ke-12 yang lalu. Kesannya pembangunan yang dirancang akan ditangguhkan atau dibatalkan seperti mana penangguhan projek pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang berikutan kekalahan Barisan Nasional kepada Democratic Action Party ( DAP ).

Ideologi politik yang berbeza akan memberi kesan kepada penyaluran atau pengagihan pembangunan. Persamaan ideologi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan memudahkan urusan dan proses interaksi antara keduanya. Faktor konflik kuasa akan dapat diatasi dengan merujuk kepada majoriti kuasa yang diperoleh. Bagi kerajaan negeri yang mempunyai ideologi yang berbeza dengan kerajaan pusat akan memberi kesan dari segi perancangan penstrukturan pembangunan yang kurang memberangsangkan. Keadaan ini akan memberi kesan kepada rakyat negeri tersebut untuk memperoleh nikmat pembangunan seperti mana rakyat negeri lain. Hal ini mungkin akan berlaku di negeri - negeri yang dikuasai parti pembangkang.

Dalam konteks pembinaan modal insan rakyat akan didedahkan dengan pembangunan dari segi pendidikan ilmiah dan pendedahan moraliti yang baik. Penghasilan modal insan yang berkualiti akan memberi kesan kepada perubahan struktur politik yang matang dan mempunyai dasar yang lengkap serta meliputi kepada penstrukturan agenda politik yang kuat. Amalan politik yang matang dan bijak akan memberi kesan kepada pembangunan modal insan dan pembangunan fizikal yang mantap.

Untuk merencanakan agenda pembangunan negara sesebuah kerajaan bergantung pada ideologi pembangunan yang dirancang seperti mana menurut model kelas Marxist. Menurut model Marxist undang- undang dikeluarkan untuk menjadi kawalan kepada masyarakat umum. Kawalan dan pengaruh ini dilakukan oleh golongan kapitalis iaitu kelompok yang menguasai ekonomi dan mempunyai kekayaan. Golongan kapitalis yang menguasai ekonomi akan menindas golongan miskin dan meminggirkan mereka dari rencana pembangunan. Akibatnya golongan miskin akan bangun menentang kerajaan untuk menuntut keadilan. Situasi ini akan melahirkan golongan pembangkang yang akan menentang setiap dasar-dasar kerajaan.

No comments:

Post a Comment