Suami isteri edar dadah ditahan
TAIPING 10 Nov. - Sepasang suami isteri yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan selepas didapati mengedar dadah jenis heroin di rumah mereka di Taman Jana Jaya, Kamunting, dekat sini malam Sabtu lepas.Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, hasil penahanan kedua-duanya pada pukul 9.30 malam itu, polis menemui 75 peket heroin seberat 300 gram yang dianggarkan bernilai RM19,000.
"Turut dirampas ialah wang tunai RM3,661, sebuah motosikal, satu komputer riba serta beberapa barangan kemas bernilai RM12,000.
"Pasangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.
"Polis juga akan menyita semua harta mereka jika terbukti dibeli daripada hasil pengedaran dadah," katanya di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 56 tahun kerana disyaki mengedar dadah di perkampungan nelayan di Seberang, Kuala Sepetang, semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 56 tahun itu menemui 13 peket plastik dadah jenis heroin seberat 16 gram bernilai RM1,000.
Tambah beliau, pihaknya turut mengesan kira-kira 50 orang terlibat semula dalam pelbagai kesalahan berkaitan gejala dadah setiap bulan.
Katanya, kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun dan 60 peratus daripada mereka terlibat menyalahguna dadah sintetik.
(sumber Utusan Malaysia, 11 November 2009)
No comments:
Post a Comment