Sunday, November 1, 2009

Ajaran Sesat: Mengancam Keruntuhan Akidah Muslim

Ajaran Sesat Kahar Ahmad

oleh Mohamad Isa bin Abd Ralip

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 21hb. Oktober yang lepas telah  menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan terhadap lelaki yang mendakwa dirinya Rasul Melayu iaitu Abdul Kahar Ahmad, 59.
Abdul Kahar dituduh mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor, 1995 kerana menyebarkan doktrin palsu, mengaku diri seorang rasul, mempersendakan agama, menyebarkan pendapat bertentangan dengan fatwa dan mengingkari dan melanggar arahan mufti, empat tahun lalu. Beliau telah mengaku salah di atas kelima-lima kesalahan yang telah dipertuduhkannya serta di dalam hujah mitigasinya telah menyatakan kepada Mahkamah bahawa beliau telah bertaubat. Namun demikian ketika membaca penghakiman Yang Arif Abu Zaky Mohamad menyatakan bahawa Abdul Kahar telah gagal memberi bukti dia sudah bertaubat nasuha.
Berkaitan dengan doktrin palsu, Seksyen 7 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor telah memperuntukan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syara’ atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini.
Sehubungan dengan itu, mana-mana orang melakukan kesalahan ini  apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Pada masa yang sama adalah menjadi suatu kesalahan juga di bawah seksyen 8 Enakmen yang sama bagi mana-mana orang yang mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai rasul atau nabi, Imam Mahadi atau wali atau menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia, sedangkan perisytiharan, pernyataan atau dakwaan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, dengan kesalahan tersebut orang itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Doktrin palsu atau dengan kata lain iaitu ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertantangan daripada Islam yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Terdapat beberapa ajaran sesat yang ada di negara kita ini yang sebahagiannya telah difatwakan sebagai sesat dan ada yang masih di dalam proses siasatan oleh pihak berkuasa agama. Boleh dikatakan sehingga kini hampir setiap buah negeri di Malaysia terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap dan adakalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh tertentu dan kadang-kadang ianya juga dikaitkan dengan artis-artis tempatan.
Di antara ciri-ciri ajaran sesat yang didapati di Negara kita ini adalah seperti berikut :-
i. Mengaku dirinya sebagai Nabi dan mendakwa menerima wahyu
ii. Mempercayai ada Nabi-nabi lain selepas Nabi Muhammad.
iii. Mempercayai wahyu masih lagi turun  selepas wafatnya Rasulullah saw.
iv. Mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya.
v. Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.
vi. Mendakwa pengikut-pengikut ajarannya sahaja akan masuk syurga.


Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat di dalam masyarakat Islam di  Malaysia bukanlah satu perkara baru dan tidak disedari tetapi kadang-kadang ajaran sesat itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk di antara benar dan yang salah. Perkara yang paling rumit dan kritikal sekali ialah di dalam ajaran-ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan yang lain. Hakikatnya, ajaran sesat bukanlah suatu perkara baru bagi kita, malah kemunculannya di negara ini adalah merupakan adunan dari pengaruh sebelum Islam dan kepercayaan animisma serta daya rekacipta kuno yang tidak berlandaskan Syariat Islam.
Terdapat pelbagai bentuk ajaran sesat di Negara kita seperti ajaran baru dengan menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Crypto. Selain itu ianya juga di dalam bentuk Tarikat dan ajaran ini biasanya menggunakan nama-nama Tarikat yang masyhur. Melalui bentuk ini guru-gurunya menggunakan cara-cara yang berbeza dengan yang asal atau diubah suai, malahan ada juga Tarikat itu diciptakan sendiri oleh pengasasnya seperti Ayah Pin di Kelantan dan lain-lain.
Selain itu juga ada yang berbentuk kepercayaan dan amalan tradisi.
Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap Wali kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang, bomoh, atau pembawa ilmu tertentu samada melalui menurun dan sebagainya.  Namun begitu, walau apa bentuk ajaran ini serta apa jua namanya, semua bentuk ajaran ini adalah jelas membawa penyelewengan dari segi akidah yang boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.

Bagi menentukan sesuatu ajaran dan amalan itu sesat ia didasarkan kepada penyentuhan akidah, sebagai contohnya pengakuan menjadi Nabi Dan Rasul.  Dalam sesuatu ajaran itu apabila didapati samaada pengakuan dari guru atau pengakuan dari murid atau pengikutnya yang beranggapan bahawa gurunya adalah Nabi dan Rasul atau wakil Nabi atau Rasul secara langsung, maka pengakuan itu adalah sesat dan tidak benar. Selain itu juga jika ianya menyentuh amalan. Sekiranya terdapat apa-apa amalan, perlakuan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan syariat Islam adalah dikira amalan sesat. Sebagai contohnya memansuhkan beberapa rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji sebagaimana yang telah dinyatakan. Rukun-rukun tersebut dikatakan zahir dan batinnya. Lalu mereka katakan bahawa sekiranya sudah tahu ibadat-ibadat tersebut dari segi batinnya maka tidak perlu lagi mengerjakannya secara zahir, kerana amalan zahir itu adalah kulit sahaja.
Kesimpulannya, pertumbuhan serta perkembangan ilmu atau amalan sesat di dalam masyarakat Islam di negara ini, bukan sahaja boleh menyebabkan Akidah umat Islam menyeleweng dari tuntutan Allah, bahkan ianya juga adalah sebahagian dari unsur-unsur yang membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam sendiri.  
Oleh kerana bahayanya ajaran sesat ini kerana ianya melibatkan aqidah umat Islam sewajarnya ajaran-ajaran seperti ini dibasmi oleh masyarakat itu sendiri dengan menjauhi ajaran-ajaran ini. Selain itu juga, masyarakat harus mengambil inisiatif dengan melaporkan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung ajaran-ajaran sesat seperti ini dari tersebar luas.
Selain itu,  bagi mengatasi dan membasmi segala ajaran atau amalan sesat  yang terdapat di dalam masyarakat Islam maka setiap umat Islam haruslah bertanggungjawab serta mengkaji sesuatu ajaran atau amalan itu secara terperinci dengan berlandaskan kepada ajaran Islam yang maha suci sebelum menyertai sesuatu ajaran, supaya dengan ini keimanan serta keyakinan umat Islam terhadap kebesaran kekuasaan Allah tetap terpelihara dan juga dapat mengelakkan umat-umat islam dinegara ini daripada terpedaya dan terperangkap dengan golongan-golongan yang mencari pengaruh disebalik kononnya atas nama Islam.
Pihak Berkuasa agama juga berperanan bagi memantau sebarang aktiviti-aktiviti ajaran sesat ini serta mengambil tindakan tegas dengan mendakwa mereka sekiranya terbukti individu-individu tersebut terlibat dengan ajaran-ajaran sesat ini kerana perbuatan ini secara jelas boleh didakwa di bawah akta atau enakmen-enakmen kesalahan jenayah negeri-negeri. Semua ini bertujuan bagi menjaga aqidah umat Islam dari diseleweng oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
(sumber diperolehi dari laman sesawang Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), http://www.peguamsyarie.org.my 

No comments:

Post a Comment