Sunday, October 4, 2009

Kesungguhan Teras Kejayaan

Bunga Daun Getah Unik






Rohani Ibrahim membuat jambangan bunga yang dibuat daripada daun getah di Kampung Rendang Pasir, Yan Besar, Yan, Kedah . - utusan / ismail kamadin







YAN 2 Okt. - Pokok getah merupakan antara tanaman yang banyak ditanam di negara kita dan harga getah yang sering turun naik membuatkan pendapatan mereka yang bergantung hidup dengan hasil getah menjadi tidak menentu.
Pokok getah mula diperkenalkan di negara ini oleh penjajah British sekitar 1898 dan mula ditanam secara meluas di tanah jajahan British.
Kini, daun pokok getah juga mula dikomersialkan menjadi hasil kraf tangan yang menarik bagi membantu para penoreh getah meningkatkan hasil pendapatan.
Seorang suri rumah, Rohani Ibrahim, 58, menjadikan kraf tangan yang dibuat daripada daun getah sebagai sumber pendapatan sampingan.
Bunga daripada daun getah yang dihasilkan olehnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
Jelas Rohani, semuanya bermula lapan tahun lalu apabila kebun getah yang seluas empat relung ditanam semula.
"Saya memang suka dengan kerja-kerja membuat kraf tangan ini dan saya mula membuat bunga daun getah secara kecil-kecilan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Rendang Pasir, Yan Besar, di sini hari ini.
Menurut Rohani, pada mulanya bunga daripada daun getah yang dihasilkannya tidak mempunyai warna yang menarik kerana dia menggunakan penyembur warna biasa.
Selepas itu katanya, ada pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) datang melawat dan menawarkan untuk memberikan bantuan dari segi teknikal membuat bunga daripada daun getah tersebut.
"Pihak RISDA memberikan mesin penyembur warna, tempat menyimpan bunga daun getah dan sebagainya kepada saya untuk memudahkan kerja-kerja menghasilkan bunga daun getah," ujarnya.
Jelasnya, proses membuat bunga daun getah agak rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi bagi menghasilkan sekuntum bunga yang cantik.
"Kita perlu menunggu sehingga sebulan sebelum daun getah yang berwarna hijau bertukar menjadi rangka daun yang berwarna putih," katanya.
Tambahnya, bau busuk yang keluar sewaktu daun getah bertukar untuk menjadi rangka daun juga agak mencabar sesiapa sahaja yang ingin membuat bunga daun getah.
"Kerana sebab-sebab inilah tiada anak muda yang mahu meneruskan kraf tangan ini namun saya dari muda berminat dengan kerja-kerja kraf tangan.
"Sebab itu saya masih membuat bunga daun getah jika ada tempahan daripada orang ramai," katanya.
Rohani menambah, bunga telur yang dihasilkan daripada daun getah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
"Setiap bulan ada saja tempahan sehingga saya tidak menang tangan untuk membuatnya.
"Biarpun agak rumit saya akan teruskan kerja menghasilkan kraf tangan daripada daun getah kerana ia memberi kepuasan kepada saya," katanya.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan bunga daripada daun getah boleh berkunjung ke rumah Rohani di Kampung Rendang Pasir, Yan Besar untuk melihat sendiri keunikan hasil kraf tangan itu.

(sumber dipetik dari Utusan Malaysia, 02 Oktober 2009)

Dari Pena Waris Alam



Kesungguhan Pn. Rohani Ibrahim dalam mencari sumber pendapatan sampingan keluarga dengan membuat bunga daun getah sungguh menggagumkan saya sebagai generasi muda. Beliau tidak menjadikan alasan usia sebagai masa untuk bergoyang kaki di rumah. Semangat beliau wjar dicontohi oleh para belia di luar sana agar kita dapat melakukan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan kita yang singkat ini...Sekian..

No comments:

Post a Comment