Padah berhutang ah long
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Akibat tidak mampu membayar hutang ah long, sepasang kekasih dipaksa ke Beirut, Lebanon, untuk membeli barangan berharga dengan menggunakan kad kredit palsu sebagai syarat untuk melangsaikan hutang mereka.Mangsa, S. T. Teng dan teman lelakinya yang berusia 24 tahun bagaimanapun tidak bernasib baik apabila ditangkap ketika cuba membeli seutas jam Rolex berharga USD4,000 (RM12,000) pada 30 September lalu.
Berikutan itu, mereka yang bekerja sebagai deejay dan pelayan kelab malam ditahan polis negara itu dan dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.
Ibu Teng, C. E. Tay yang ditemui di Wisma MCA di sini hari ini berkata, dia mendapat tahu kejadian tersebut setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya pada 1 Oktober lalu.
Dia yang bimbang dengan nasib menimpa anaknya itu kemudian meminta bantuan Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, keesokan harinya.
''Dalam SMS itu, Teng merayu agar saya menyediakan RM15,000 untuk membiayai yuran guamannya.
''Pada mulanya, dia memberitahu dia pergi bercuti ke Bangkok, Thailand, malah saya sempat ingatkan dia supaya berhati-hati. Jadi saya amat terkejut apabila mendapat tahu dia ditahan di Lebanon,'' kata suri rumah berusia 41 tahun itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong yang turut hadir, berjanji akan berusaha membantu Teng dan teman lelakinya.
''Ketika ditemui pegawai Kedutaan Malaysia di negara itu, mereka mendedahkan bahawa ah long yang mengarahkan mereka berbuat demikian untuk melangsaikan hutang.
''Walau apa sekali pun, saya ingin ingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar tidak melakukan jenayah di luar negara,'' katanya lagi.
Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong bimbang terhadap trend ah long memaksa peminjam melakukan jenayah sebagai syarat melangsaikan hutang mereka.
''Selain kes hari ini, pada Januari 2007, terdapat dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana menyeludup dadah jenis ketamin di Taiwan,'' ujar beliau.
(sumber dipetik daripada Utusan Malaysia, 10 Oktober 2009)
No comments:
Post a Comment