Lawatan Raja Muda Perlis Naikkan Semangat Tentera
Oleh ZULHISHAM ISHAK
|
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan isteri, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) tersenyum riang ketika bermesra dengan warga tentera yang mengawal Pulau Tabuwan, Sabah. |
SEJAK Operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) diperkenalkan pada September 2000, negeri Sabah khususnya daerah di pantai timur kembali tenang daripada sebarang bentuk kekacauan khasnya yang melibatkan ancaman puak militan.
Operasi itu dilaksanakan selepas insiden penculikan 12 pelancong asing, lapan pekerja pusat peranginan dan seorang anggota polis oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari selatan Filipina di Pulau Sipadan dekat Semporna pada 23 April 2000.
Sejarah hitam itu menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia khususnya di Sabah selain pernah mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan pulau-pulau di negeri ini.
Selepas sembilan tahun operasi itu dilakukan, terbukti langkah tersebut merupakan satu strategi ketenteraan paling penting dan berkesan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Operasi itu sama pentingnya dengan Ops Balasah di hutan yang bersempadankan Kalimantan melalui enam pos Tentera Darat Malaysia (TDM) di Serudong, Kalabakan, Seliku, Bantul, Saliliran dan Long Pasia.
Dalam Ops Pasir, anggota-anggota tersebut ditempatkan di 22 buah penempatan TDM di 20 buah pulau dan tujuh lagi di penempatan TDM di pesisir pantai di daerah paling selatan di Sabah.
Tidak kira siang, malam atau berlangsung hari kebesaran atau sambutan perayaan, operasi tersebut akan diteruskan tanpa henti.
Ini termasuk ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Justeru bagi menghargai jasa mereka, sumbangan kuih raya akan dihantar setiap tahun bagi membolehkan mereka sama-sama menyambut hari lebaran itu.
Selain menerima sumbangan kuih raya, anggota keselamatan itu turut menerima lawatan tetamu di-raja, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda yang telah beberapa kali melawat kem-kem di Sabah sebelum ini telah memilih untuk melawat Kompeni Bot Tempur, Kem Azumi dan empat pulau iaitu Tabawan, Sibuan, Bohey Dulang dan Omadal tahun ini.
Turut mengiringi baginda ialah Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Timbalan Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Asisten Komisioner Abdul Haddi Itam.
Kem Azumi, kira-kira setengah jam perjalanan dari Semporna dipilih sebagai destinasi pertama dan rombongan diraja itu disambut oleh Komander Kompeni Bot Tempur, Mejar Mohd. Roslaini Bujang.
Panas terik matahari, apatah lagi dalam bulan puasa tidak menghalang Tuanku Syed Faizuddin bermesra dengan anggota keselamatan yang dilihat begitu teruja dengan kehadiran baginda.
Kesempatan tersebut turut digunakan oleh Raja Muda Perlis itu untuk merakamkan gambar bersama anggota-anggota kem berkenaan.
Dari Kompeni Bot Tempur, baginda meneruskan lawatan ke Kompeni Charlie iaitu sebuah pos tentera di Pulau Tabawan, kira-kira satu jam perjalanan dengan menggunakan bot laju.
Keindahan batu karang yang boleh dilihat jelas dan pemandangan sekeliling yang mempersonakan pasti memukau pengunjung yang berkesempatan ke pulau berkenaan.
Bagaimanapun tidak terdapat sebarang penempatan atau kampung di pulau itu dan kewujudan pos tentera adalah kerana kedudukannya berhampiran dengan Filipina.
Anggota TDM di situ bukan sahaja melahirkan rasa terima kasih atas kunjungan tersebut malah menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan atas jasa dan sumbangan pasukan keselamatan.
"Inilah kali pertama saya menerima lawatan seorang Raja Muda ke pos keselamatan di mana saya sedang bertugas sejak menyertai angkatan tentera 13 tahun lalu.
"Ini bukti bahawa Tuanku prihatin dengan anggota keselamatan seperti kami yang bertugas di pulau-pulau," kata Staf Sarjan Amran Shafie, 38, dari Pasir Puteh, Kelantan.
Lans Koperal Azri Sabran, 26, dari Kota Tinggi, Johor yang tiga tahun tidak balik beraya pula berkata, lawatan Tuanku menyuntik rasa bangga beliau menjadi seorang anggota tentera.
Menurut Azri, kehadiran baginda menyebabkan mereka merasa sumbangan dan pengorbanan anggota keselamatan mempertahankan keselamatan negara dihargai.
Terpegun
Sementara itu di Pulau Sibuan, Raja Muda Perlis terpegun dengan perubahan masyarakat Pala'u yang tidak lagi tinggal di atas perahu sebaliknya sudah mendirikan rumah di atas air.
Pala'u dianggap oleh sesetengah pihak sebagai salah satu kaum pribumi Sabah yang majoritinya menjadikan perahu sebagai rumah dan melakukan semua kegiatan harian di situ.
Keletihan langsung tidak terbayang di wajah baginda meskipun tidak ada sebatang pokok pun yang memayungi perjalanannya.
Tuanku juga tidak melepaskan peluang bermain sepak takraw dengan penduduk setempat.
Hasrat baginda untuk menjejakkan kaki ke Pulau Bohey Dulang iaitu destinasi berikutnya tidak kesampaian kerana keadaan yang tidak berapa mengizinkan waktu itu.
Ini kerana air laut ketika itu sedang surut dan menjadi terlalu cetek. Dikhuatiri, jika bot baginda dan bot pengiring lain mendarat, ia akan merosakkan batu karangnya.
Kelihatan pulau tersebut dari bahagian depan seperti satu bangunan batu yang tersergam indah dengan genangan airnya jernih kebiru-biruan.
Semasa di Pulau Omadal pula, telatah dan gelagat Tuanku yang berjiwa rakyat iaitu mesra dengan sesiapa sahaja terutama kanak-kanak mencuit hati penduduk setempat.
Tuanku turut memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada semua anggota PGA yang bertugas di situ.
Dalam pada itu, baginda menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan bertugas di perbatasan bagi menjaga keselamatan negara adalah satu bentuk jihad.
Titah baginda, tugas tersebut amat mulia kerana dengan wujudnya ketenteraman awam rakyat bebas dan selamat melakukan aktiviti harian lebih-lebih pada Hari Raya Aidilfitri.
"Pengorbanan mereka terhadap negara amat disanjungi. Dalam konteks hari ini pengorbanan mereka mempertahankan negara adalah satu bentuk jihad dengan erti kata yang sebenarnya.
"Bukan yang berlaku atas nama agama seperti mengebom mangsa-mangsa yang tidak bersalah, menculik dan membunuh secara rambang yang dibuat di seluruh dunia," titah baginda.
Nawawi Terselamat Walau Diacu Pistol di Perut
Oleh ASSIM HASSAN
|
KENANGAN bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menerima pingat Bentara Pasukan Polis (BPP). |
Calon Gaya Polis minggu ini tertarik memasuki polis hanya setelah melihat rakan-rakan sebaya pulang ke kampung halaman dengan berpakaian kemas. Segak dan berdisiplin sehingga timbul perasaan cemburu.
Itulah Sarjan Mejar Nawawi Latif, seorang anggota polis berpengalaman yang kini bertugas sebagai penyelia pegawai rondaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Anak kelahiran Jasin, Melaka itu, sebelum ini pernah berkhidmat selama 26 tahun di IPD Brickfields, suatu tempoh masa yang begitu lama.
Ketika ditemui baru-baru ini, Nawawi menceritakan dia hanya tamat tingkatan empat apabila mengambil keputusan untuk bekerja mencari rezeki.
Ini kerana keadaan hidup keluarganya yang susah di kampung selain mempunyai ramai adik beradik, berjumlah 14 orang kesemuanya.
"Saya terpaksa berhenti sekolah pada usia 16 tahun untuk memberi ruang kepada adik beradik lain untuk bersekolah," katanya di awal bicara.
Beliau kemudian membantu keluarga mencari rezeki dan berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama Rakyat Bemban, Jasin, selama tiga tahun.
Namun kerana kerana keinginan yang tinggi untuk memasuki Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau mencuba nasib dan tidak disangka-sangka telah diterima.
Beliau kemudian mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak selama enam bulan dan ditugaskan sebagai guru agama di pusat latihan itu.
"Mungkin kerana pengalaman sebelum ini, ketua melantik saya menjadi salah seorang guru agama. Ini kerana pusat itu kekurangan jawatan tersebut," katanya.
Tidak lama selepas itu, beliau kemudiannya berkhidmat di IPD Brickfields di cawangan tugas am sebelum dilantik sebagai penolong pegawai penyiasat (AIO).
Banyak pengalaman dilalui selama hampir 30 tahun di daerah tersebut antaranya peristiwa pada 1985 ketika beliau sedang membuat rondaan di Jalan Klang Lama.
Dalam kejadian itu, beliau telah menahan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sejurus ditahan, mereka cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan lalu berlaku pergelutan.
"Ketika pergelutan itulah dengan tidak disangka-sangka, suspek berjaya merampas pistol saya dan mengacukan di perut.
"Pada ketika itu, saya hanya fikir bahawa saya akan mati dan mengucapkan kalimat 'Ya Allah' sahaja," katanya serius.
Namun dengan izin Allah, penjenayah itu tidak melepaskan tembakan malah beliau berjaya merampas kembali pistol tersebut.
Selain itu, dalam menjalankan tugas, berjumpa dengan mayat manusia adalah sesuatu perkara lumrah buat dirinya dan rakan-rakannya sebagai AIO.
Apatah lagi jika mayat tersebut telah lama mati dan mula berulat serta mengeluarkan bau yang amat busuk.
"Mayat manusia lebih busuk berbanding bangkai haiwan dan lain-lain. Saya gunakan belacan dan mencalit sedikit di permukaan hidung.
"Itulah petua orang dulu-dulu dan sepanjang saya berkhidmat di Brickfields, saya gunakan perkara itu (mencalit belacan) ke hidung saya," kata bapa kepada tiga anak itu.
Atas khidmat cemerlangnya, Nawawi pernah menerima pingat Bentara Pasukan Polis (BPP) daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 27 Jun 2009.
Saufi Anuar Hampir Maut Tiga Kali di Sudan
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
|
KEMeSRAAN ASP Saufi Anuar (kiri sekali) bersama pegawai polis di Unit Sains Pengurusan Tugas Am dan Trafik MPDRM. |
Saya pernah hampir mati tiga kali dalam beberapa jam saja,". Begitu perkataan yang diluahkan Asisten Supritendan Saufi Anuar Abdullah ketika ditemui baru-baru ini, membuatkan penulis tergamam seketika.
Tanpa berselindung, pegawai berusia 45 tahun itu memulakan kisah yang dilaluinya semasa terlibat dalam misi kemanusiaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bahagian utara Darfur, Sudan, Jun tahun lalu.
Kisahnya bermula selepas beliau dihantar ke tempat operasi di Shangil Tobaya, El-Fasher iaitu di sebuah perkampungan. Sebelum itu, beliau diberi latihan selama sebulan untuk membiasakan diri di negara berkenaan.
Semasa di Shangil Tobaya, kehidupan sememangnya sesuatu yang sukar apabila beliau dan pasukan sahabat terpaksa tinggal di sebuah khemah sempit selain berhadapan dengan ancaman ribut pasir.
Di situ, Saufi tinggal bersama-sama rakan setugasnya iaitu dari Ghana, Uganda, Senegal, Afrika Selatan, Egypt, Gambia, Rwanda dan Zambia.
"Saya rasa itulah kesusahan yang mungkin tidak dapat dilupakan. Ia memang sesuatu yang mencabar," kata pegawai dari Unit Sains Pengurusan Tugas Am dan Trafik Maktab PDRM.
Pada keesokan harinya iaitu pada tanggal 8 Julai 2008, mereka diarah menjalankan rondaan di beberapa buah perkampungan iaitu Dares Salam, Wada dan Gusa Jamat. Mereka pergi tanpa senjata api.
Konvoi dengan menggunakan enam buah kenderaan perlindungan tentera dan tiga buah pengangkut bersenjata persendirian (APC) itu melibatkan jarak kira-kira 100 kilometer (km).
Di dalam kereta yang dinaikinya, Saufi memberitahu terdapat enam penumpang kesemuanya iaitu rakan setugas daripada negara lain dan seorang jurubahasa.
"Kami berjaya sampai di ketiga-tiga buah kampung berkenaan dengan selamat tanpa sebarang gangguan daripada pemberontak.
"Malah keadaan di kampung-kampung berkenaan juga terkawal dan kami disambut dengan baik serta dihidangkan makanan," ujarnya.
Namun malangnya, selepas 20 minit berlepas daripada destinasi terakhir iaitu Gusa Jamat kenderaan konvoi dinaiki mereka terpaksa berhenti setelah tiba-tiba diserang hendap.
Pemandu kenderaan terus mengarahkan mereka tunduk dan serentak itu, kenderaan tersebut dihujani oleh peluru tanpa henti.
"Kami terperangkap selama satu jam dalam kenderaan berkenaan dan terasa seperti akan mati.
"Semasa tunduk dalam keadaan sempit, saya terdengar bunyi plup!. Sejurus cuba melihatnya, saya nampak sebutir peluru musuh menembusi kenderaan dan terkena kaki jurubahasa. Darahnya menyembur keluar," ceritanya penuh perasaan.
Kata Saufi, dalam serangan itu, tiga daripada enam penumpang termasuk pemandu APC yang dinaikinya maut terkena tembakan.
Tambahnya, setelah keadaan kembali reda, ketiga-tiga mereka yang terselemat kemudiannya berlari keluar daripada kenderaan itu dan menaiki APC lain untuk menyelamatkan diri.
Saufi memberitahu, pengalamannya tidak terhenti setakat itu kerana dalam usaha menyelamatkan diri, APC mereka pula terkandas di dalam lubang pasir.
"Saya bersama dua rakan setugas dari negara lain terus berlari ke arah pokok untuk bersembunyi. Sekumpulan pemberontak yang menaiki jip datang ke arah kami.
"Saya lantas berdiri dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil melaungkan takbir serta kalimah syahadah sebagai kekuatan diri.
"Saya ingat akan dibunuh tetapi mereka hanya merampas barangan berharga daripada saya sambil menunjuk arah ke Dares Salam," katanya.
Sejurus selepas kumpulan pemberontak itu beredar, beliau mendapati seorang daripada rakannya telah ditembak mati manakala seorang lagi sempat melarikan diri.
Selepas itu katanya, dalam keadaan lemah dan trauma, dia berjalan kaki mendaki sebuah bukit untuk mencari arah ke tempat selamat.
"Apa yang dapat dilihat di atas bukit berkenaan hanyalah padang pasir yang luas dengan beberapa batang pokok. Itulah kali ketiga saya berasa akan mati. Ini kerana saya tiada bekalan air dan mungkin akan ditembak semasa berjalan ataupun diserang binatang buas.
"Selepas beberapa jam berjalan dalam keadaan lemah, saya ternampak sebuah perkampungan dan saya berjaya berjalan ke situ," ujarnya.
Katanya, dari perkampungan itu beliau telah menaiki sebuah kenderaan untuk dihantar balik ke kem yang didiami.
Akibat mengalami peristiwa tragik itu beliau terpaksa menjalani kursus pemulihan sebelum pulang ke negara ini pada 10 Jun lalu.
Ketika menyambut hari lebaran baru-baru ini, beliau masih tidak dapat melupakan bunyi peluru yang menyerang kenderaannya apabila mendengar kanak-kanak bermain mercun.
Saufi yang mendapat latihan polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) ibu negara pada 28 April 1991, bertemu jodoh dengan Zullita Dzulkifli dan dikurniakan tiga puteri dan seorang putera.
Beliau dilahirkan di Bukit Besi Dungun, Terengganu dan memiliki diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pembangunan Manusia di Maktab PDRM.
Putus Jari Semasa Peristiwa Memali
Oleh ASSIM HASSAN
|
Mohd. Nor Yunus |
Calon ruangan Gaya Polis minggu ini pernah terlibat dengan insiden 'ngeri' yang hampir meragut nyawanya, namun itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
Ketika pertemuan, beliau yang kini telah bersara kelihatan tidak sabar-sabar untuk berkongsi pengalamannya dengan pembaca, begitu juga penulis.
Apatah lagi apabila terpandang jari telunjuk di tangan kirinya yang terputus separuh selain kecederaan dialami di bawah mata kirinya.
Beliau ialah Sarjan Mohd. Nor Yunus yang terpaksa melepaskan khidmatnya dalam pasukan seawal usia 45 tahun ekoran masalah kesihatan.
Pertemuan yang direncanakan oleh rakan sekerja membolehkan penulis dan jurufoto, Rahsid Mahfuz bertemu beliau di rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, baru-baru ini.
Walaupun pada mulanya bersikap rendah diri, namun kecederaannya itu membuktikan anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini menyimpan 'sesuatu' dalam hidupnya.
Akhirnya setelah perlahan-lahan 'dikorek' barulah, Mohd. Nor menceritakan peristiwa tersebut yang dialaminya dalam pertempuran Memali 1986.
Jelas bapa kepada lima anak itu, ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, lebih-lebih lagi tahun pertama dia ditukarkan ke Unit Tindakan Khas (UTK).
Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, ketika itu, dia antara orang yang pertama memasuki kawasan rumah ketua sebuah kumpulan, dikenali sebagai Ibrahim Libya dengan kereta perisai.
"Kalau kita tengok, pengikut beliau (Ibrahim) yang berhimpun di sekeliling rumahnya kira-kira 8,000 orang. Ia memang sesuatu menggerunkan tetapi kami tetap memberanikan diri.
"Bayangkan suasana ketika itu. Mereka berhimpun dan bertindak agresif selepas mendapat tahu yang polis akan menangkap ketua mereka (Ibrahim).
"Ketika itulah, pengikutnya melibas-libas senjata tajam sehingga saya tercedera. Saya lihat jari tangan kiri dan mata kiri berdarah," katanya sambil menunjukkan parut dan jari yang cedera ketika suasana tegang di perkampungan Memali.
Beliau berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, penduduk kampung mula menyerang polis dengan bom buatan sendiri selain kayu dan parang sejurus anggota pasukan itu mara lebih jauh ke kawasan mereka.
"Ia memaksa polis bertindak dan menembak mati Ibrahim. Pengikut Ibrahim bukan hanya membawa senjata tajam tetapi turut memiliki bom botol," katanya yang berkhidmat selama 14 tahun dalam UTK.
Mohd. Nor mula memasuki pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tanggal 1 September 1965 selepas berhijrah ke Kuala Lumpur apabila terpandang sebuah iklan di surat khabar.
Selepas tamat latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, beliau ditugaskan sebagai jurulatih kawad di pusat latihan itu selama lapan tahun dan memegang jawatan pemangku koperal.
Selepas itu, beliau terpilih dan dihantar ke Jepun untuk mempelajari teknik seni mempertahankan diri selama enam bulan.
Sekembalinya beliau dari Jepun, Mohd. Nor ditugaskan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu untuk memberi latihan kepada pegawai polis dalam seni mempertahankan diri dan kawad.
"Saya rasa bersyukur apabila terpilih dan ketika menjadi jurulatih, anak-anak buah saya pasti akan ingat bagaimana saya melatih mereka.
"Ada kala jika nampak saya mereka takut," katanya sambil berseloroh.
Selain itu, beliau turut bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang memahami kerjayanya khusus isteri tercinta, Noriah Baba yang sentiasa ada bersama di saat susah dan senang.
(Sumber Utusan Malaysia, 28 Oktober 2009)