Wednesday, February 10, 2010

Buang Bayi....Sanggup anda lihat ada lagi bayi dibuang?

Apa dosa bayi perempuan ini?





KEJAM... Mayat bayi perempuan dihurungi semut dijumpai di hadapan Masjid Permatang Duyong, Melaka, semalam. – Utusan/GAIE UCHEL




MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa?
Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini.
Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa.
Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.
Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya.
Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.
Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini.
Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.
Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.
Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Saya tidak berapa perasan kerana keadaan ketika itu gelap. Saya ingat ia hanya baju putih yang mungkin dibawa angin dan terjatuh di situ.
“Ketika itu, saya tidak mempedulikan kain putih tersebut kerana hendak menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Permatang Duyong, hari ini.
Sebaik sahaja selesai solat, dia dikejutkan oleh jeritan seorang rakannya yang memberitahu ada mayat bayi perempuan di atas lantai berhampiran pagar masjid.
Mohamad yang bergegas keluar, terkejut apabila melihat mayat bayi yang dibaluti kain putih itu dihurungi semut.
“Saya betul-betul tidak sangka kain putih yang saya lihat tadi rupa-rupanya digunakan untuk membalut bayi,” katanya.
Dia kemudiannya segera menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi perempuan di masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu, polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.
“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta,” katanya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

(Sumber dipetik dari Utusan Malaysia Online, 11 Febuari 2010)
________________________________________________________________________________

Kejadian buang bayi merupakan bencana sosial yang berlaku di Malaysia berada di tahap yang membimbangkan dan menular di kalangan generasi muda bagaikan 'virus'. Hampir setiap masa media cetak dan elektronik di Malaysia memaparkan dan menyiarkan berita berkaitan gejala pembuanga bayi ini. Bencana sosial ini wujud akibat pergaulan bebas serta lenyapnya perasaan malu dikalangan individu yang terlibat. Kejadian pembuangan bayi ini seringkali berakhir dengan tragedi maut akibat bayi dihurungi semut, ksejukkan, lemas,cedera akibat dipukul dan sebagainya. Keadaan tragis yang dialami oleh bayi malang ini menunjukkan bahawa bencana sosial ini bukan setakat berlakunya hubungan seks terlarang dan tanpa nikah, bahkan lebih teruk sehingga meragut nyawa bayi yang tidak bersalah dan tidak mampu menyelamatkan diri sendiri. Justeru itu masalah ini wajar diambil berat oleh ibubapa, masyarakat,agensi terlibat untuk mengelakkan masalah ini terus berlarutan sehingga menjadi budaya 'syaitan'.
Ibu bapa atau keluarga wajar memantau anak-anak mereka dengan lebih perhatian dan sentiasa mengambil tahu berkaitan pergaulan anak-anak, pergerakan anak-anak, perubahan tingkahlaku anak-anak dan sebagainya. Bagi keluarga yang anak-anaknya bermasalah ibu bapa perlu bijak menangani masalah ini dengan matang dan bertindak secara bijak dan berhikmah bukan secara melulu atau menghalau anak-anak dari rumah. Tindakan agresif dan menyisihkan anak-anak akan memberi kesan emosi yang kadangkala anak-anak akan mengambil tindakan nekad sehingga terjadinya bencana sosial ini. Kita perlu tahu bahawa setiap kejadian yang berlaku ini adalah kesan atau hasil perbuatan kita yang terlepas pandang terhadap generasi muda yang mula mengenal dunia dan baru belajar menghadapi cabaran dalam hidup. Kadang-kadang golongan ini terlupa diri atau hilang kawalan terhadap fikiran yang matang dan positif hanya kerana menghayati nikmat yang bakal menjahanamkan diri ke lembah hina. Justeru itu sama-samalah kita rakyat Malaysia untuk berjuang membanteras bencana sosial yang mengancam kehidupan anak-anak muda kita... Jangan biarkan mereka bersendirian dalam menjalani kehidupan mereka... Bantulah perjalanan hidup mereka dengan kata nasihat...Pandanglah mereka dengan kasih sayang...Dekatilah mereka dengan berhikmah...Berilah didikan agama yang sempurna...Tunjukkanlah mereka etika dan moral seorang insan...Insyaallah saya yakin dan percaya mereka akan berjaya dalam hidup mereka...Maka bencana sosial akan lenyap dari bumi Malaysia tercinta...

No comments:

Post a Comment