Saturday, February 6, 2010

Aku Terima Nikahnya........

Perkahwinan merupakan satu jalan yang menghubungkan dua insan yang berlainan jantina melalui ikatan syarak yang sah,berwali, berijab kabul, bersaksi dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh agama. Perkahwinan menuntut setiap pasangan untu bertanggungjawab dan saling memenuhi keperluan diantara satu sama lain yakni suami dan isteri. Kedua pasangan sangat memainkan peranan penting dalam mewujudkan keluarga bahagia dan sentiasa peka akan tanggugjawab yang dipikul. Sisuami yang bertanggungjawab membentuk keluarganya, memberi nafkah kepada keluarga, memastikan keselamatan keluarga dan pelbagai tanggungjawab lain. Manakala si isteri pula, bertanggungjawab untuk menjaga keperluan suami,mendidik anak-anak,menjaga kehormatan diri dan harta suami sebaik mungkin dan pelbagai lagi tanggungjawab yang dipikul oleh golongan yang telah berkahwin.Tanggungjawab dalam  sesebuah perkahwinan ini menjadi garis panduan kepada pasangan untuk memastikan keluarganya berada di asas dan laluan yang betul. 

Kepincangan dalam memenuhi tanggungjawab sebagai suami atau isteri akan membawa kepada pergolakan dan pertelingkahan dalam rumah tangga yang akhirnya boleh mengundang kepada perceraian. Perceraian ini bukan sahaja meruntuhkan institusi keluarga bahkan memberi kesan kepada anak-anak kerana tersepit diantara ayah dan ibu. Hal ini akan memberi tekanan emosi kepada anak-anak dan menjadikan mereka yang dulunya aktif menjadi pasif, yang bersikap lembut menjadi individu yang bersikap agresif. Justeru itu, tanggungjawab dalam perkahwinan ini wajar dipikul sebaik mungkin dan perlu menjadi antara agenda perbincangan antara pasangan dalam mewujudkan keluarga yang bahagia dan harmoni. Ikatan kekeluargaan ini merupakan satu perhubungan yang suci dan menjadi satu elemen penting dalam melahirkan perasaan kasih dan sayang. Setiap kekhilafan pasangan wajar diselesaikan berdasarkan ajaran agama dan mengikut saluran perbincangan yang terbaik agar ikatan perkahwinan yang dibina tidak terputus begitu sahaja hanya kerana hambatan nafsu dan ego. Pengabaian tanggungjawab bukan satu langkah menyelesaikan masalah dalam rumah tangga tapi mengundang kepada masalah yang lebih besar seperti perceraian. Binalah keluarga bahagia kerana dari situ akan lahir masyarakat yang harmoni, mendamaikan negara dalam membina kehidupan yang sejahtera.

No comments:

Post a Comment