Wednesday, November 11, 2009

Musim Haji Bakal Menjelang tiba

1.5 juta jemaah berkumpul

MEKAH 10 Nov. - Jumlah jemaah haji yang mengunjungi tanah suci Mekah kini telah mencecah lebih 1.5 juta orang sehingga keadaan di sekitar Masjidil Haram menjadi terlalu sesak.
Antara jemaah yang banyak tiba sejak semalam adalah dari Iran, negara-negara Afrika dan Asia Tengah selain dari China dan Turki.
Kehadiran jemaah dari Indonesia bagaimanapun masih mendominasi keadaan sama ada di Masjidil Haram atau kawasan persekitarannya.
Tinjauan pasukan petugas media Tabung Haji di Masjidil Haram hari ini mendapati keadaan sesak berlaku di dataran yang menempatkan Kaabah dan laluan sa'i.
Di sekitar Kaabah, ribuan jemaah yang baru tiba untuk melakukan tawaf umrah terpaksa bersaing dengan jemaah yang melakukan tawaf sunat sehingga pergerakan mengelilingi Kaabah menjadi terlalu perlahan.
Jemaah dari Pattani, Thailand, Qassim Mat Sah, 51, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana hanya mengambil masa hanya dua tahun sahaja mengumpulkan wang untuk mengerjakan haji bersama isterinya.
''Nak kumpul duit tak payah. Kena pula harga getah naik dan cepatlah ambo simpan duit ke Mekah," katanya dalam loghat Kelantan.
Menurut Qassim, beliau mengeluarkan belanja sebanyak 145,000 bath (RM14,500) untuk tujuan tersebut dan semuanya hasil penat lelahnya menoreh getah di kebun seluas kira-kira 2.5 hektar.
''Kita tak ada agensi macam Tabung Haji, semuanya diuruskan oleh swasta," katanya.
Seorang lagi jemaah dari Pattani, Abdul Aziz Che Hussin, 60, memberitahu, azam kuat untuk mengerjakan haji membuatkannya berjimat-cermat bagi mengumpulkan wang ke tanah suci.
''Keadaan di Selatan Thailand belum stabil dengan sekali-sekala berlaku letupan bom dan tembak- menembak. Memang susah nak cari rezeki tapi Allahamdullillah, pak cik dapat juga kumpul duit ke Mekah," katanya yang juga memiliki kebun getah dan sayur-sayuran.
Seperti juga Qassim, Abdul Aziz hanya mengambil masa dua tahun untuk mengumpulkan duit sebanyak 150,000 bath (RM15,000) melalui pakej swasta ke tanah suci.
Beliau memberitahu, kebanyakan jemaah Pattani yang mampu mengerjakan haji terdiri daripada peniaga atau penoreh-penoreh getah terutama yang mengusahakan kebun seluas berekar-ekar.
Abdul Aziz yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sini begitu kagum dan bersemangat melihat sebegitu ramai umat Islam dari seluruh dunia.
''Gembira tengok jemaah terlalu banyak," katanya yang turut ditemani isteri.
Sementara itu, Ketua Delegasi Jemaah Haji Iran, Masood Mujarredi berkata, pihaknya akan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan jemaah dari negara itu melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.
''Mungkin ada perbezaan antara dua negara tetapi perbezaan itu tidak sepatutnya timbul apabila melibatkan rukun Islam. Kami sedia bekerjasama untuk kebaikan semua muslim," tegasnya kepada akhbar al-Madinah dan dilaporkan oleh akhbar Arab News, hari ini.
Masood juga menolak spekulasi bahawa ada jemaah Iran akan mengadakan demonstrasi pada musim haji ini dan menjelaskan bahawa buku-buku yang dibawa oleh jemaahnya hanya buku panduan cara-cara menunaikan ibadat tersebut dan bukannya dokumen propaganda. - Utusan

(sumber Utusan Malaysia, 11 November 2009)

No comments:

Post a Comment