Wednesday, November 11, 2009

Lawatan Presiden China ke Malaysia

Kerjasama Malaysia-China




Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengiringi Presiden China, Hu Jiantao bersama isteri, Liu YongQing pada majlis sambutan negara untuk Presiden China itu di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN/Ahmad Zaki Jillan





Kuala Lumpur 10 Nov. – Presiden China, Hu Jintao berharap lawatan beliau ke Malaysia kali ini akan membawa hubungan strategik dan kerjasama Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat persefahaman dan persahabatan yang lebih baik antara kedua-dua negara hasil daripada lawatan itu.
“Saya berhasrat untuk mengadakan sesi bertukar-tukar pendapat yang terperinci dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung hubungan Malaysia dan China serta isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama.
“Pada masa yang sama, saya juga ingin melihat jalinan hubungan yang lebih erat dengan sahabat-sahabat dalam pelbagai sektor di Malaysia,” katanya.
Jintao berkata demikian dalam kenyataan bertulis yang diedarkan di hotel penginapan beliau di sini hari ini.
Jelas beliau, kedua-dua negara menjadikan kerjasama strategik dalam suasana baru, kestabilan serta kemakmuran serantau dan sumbangan rakyat sebagai matlamat utama.
“Ini merupakan matlamat yang dikongsi oleh Malaysia dan China sebagai negara yang sedang membangun di rantau Asia Pasifik.
“Hubungan dua hala Malaysia dan China yang terjalin selama 35 tahun sudah menyaksikan peningkatan pantas lawatan dan hubungan antara rakyat di kedua-dua negara,” katanya.
Selain daripada itu, tambahnya, kedua-dua negara turut mencatatkan peningkatan kerjasama dalam semua bidang.
Katanya lagi, Malaysia merupakan ‘jiran’ mesra bagi China dan rakyat di kedua-dua negara turut menyanjung tinggi hubungan persahabatan yang terjalin.
“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan dan salam persahabatan daripada rakyat China di atas kesudian menjadi tuan rumah dan kemesraan rakyat Malaysia di sini.
“Saya juga rasa begitu terhormat dengan lawatan negara saya ke Malaysia kali ini di atas jemputan Tuanku Mizan. Semoga Malaysia menikmati kemakmuran dan rakyatnya mendapat kesejahteraan,” jelasnya.
Jintao tiba di hotel penginapan dengan diiringi oleh Tuanku Mizan.
Selepas baginda berangkat pulang, beliau menerima kunjungan hormat Datuk Seri Najib Tun Razak selama lebih kurang 15 minit.
Kehadiran beliau di hotel penginapan turut menyaksikan kawalan ketat polis serta penutupan Jalan Sultan Ismail untuk kenderaan awam buat sementara waktu.
Biarpun mempunyai pas media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil media tempatan dan media asing yang beroperasi di Kuala Lumpur dihalang daripada berada dalam bangunan hotel penginapan Jintao ketika pemimpin China itu menerima kunjungan hormat Najib.
Jurugambar turut dilarang daripada mengambil gambar ketika pemimpin China itu tiba di hotel penginapan sambil diiringi Tuanku Mizan.
Difahamkan arahan untuk menghalang wartawan tempatan daripada memasuki bangunan hotel dan membuat liputan ketibaan Jintao adalah atas permohonan pihak berkuasa China atas sebab keselamatan.
Petugas media dari negara China yang mengiringi Jintao bagaimanapun bebas membuat liputan.

Najib kunjungi Presiden Hu Jintao




Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Hu Jintao dan isteri, Liu YongQing (kiri), Najib Tun Razak serta Rosmah Mansor di Istana Negara, malam tadi. - BERNAMA





KUALA LUMPUR 10 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Hu Jintao serta isteri, Liu YongQing, yang sedang melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia di Hotel Shangri-La di sini.
Najib, yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Hu dan isteri.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan isteri, Datin Seri Chooi Yoke Chun.
Pemimpin China itu dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia sebelum melawat Singapura pada 12-13 November.
Kunjungan Hu bagi membalas lawatan rasmi Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2005, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong dan kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke negara itu semasa majlis perasmian sukan Olimpik Beijing pada Ogos tahun lepas.
Lawatan Presiden China itu ke negara anggota ASEAN — yang pertama seumpamanya dalam tempoh 15 tahun oleh ketua negara China akan membantu mengeratkan lagi hubungan China-ASEAN.
Kunjungan terakhir sebelum ini oleh ketua negara China ke Malaysia dilakukan Presiden Jiang Zemin iaitu pada November 1994. Ini adalah kunjungan kali kedua Hu ke Malaysia, setelah melawat negara ini sebagai Naib Presiden China pada Mei 2002. - BERNAMA


(sumber dipetik daripada Utusan Malaysia, 11 November 2009)

No comments:

Post a Comment