Sunday, March 21, 2010

Hero Lombok larikan gadis lagi...

Anak dilarikan ke Lombok


Fatimah Mat dan suaminya Azmi Sulaiman menunjukkan laporan polis dan gambar anaknya Ahzlina (gambar kecil) yang menghilangkan diri dipercayai mengikut teman lelakinya ke Lombok Tengah, Indonesia sejak mac 2008.


MACHANG 21 Mac - Kisah gadis yang sanggup meninggalkan keluarga atau lari dari rumah untuk membuktikan cinta terhadap lelaki Lombok nampaknya masih belum reda.
Setelah menjalani kehidupan yang sukar bersama lelaki pilihan di tempat asing, mereka mula berasa kesal dan merintih agar dibawa pulang.
Terbaru, sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Tiu di sini merayu bantuan mana-mana pihak untuk membawa pulang anak sulung mereka Ahzlina Azmi, 22, yang dipercayai berada di Lombok Tengah sejak beberapa tahun lalu.
Fatimah Mat Nor, 62, memberitahu, dia dan suami Azmi Sulaiman, 50, simpati mendengar rayuan anaknya itu setiap kali menghubunginya untuk pulang ke negara ini kerana mendakwa hidup susah di Lombok.
''Hati saya luluh dan sedih setiap kali Ahzlina memberitahu hidup mereka susah dan ingin balik. Buat masa ini, dia dan suami yang dikenali sebagai Salleh bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit di sana.
''Hati saya belas dan meronta-ronta mahu membantu tetapi tidak berdaya kerana ayahnya hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan dan tiga adiknya masih bersekolah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, anak sulung enam adik beradik itu mengikut teman lelakinya ke Lombok tanpa memberitahu keluarga terlebih dahulu.
''Sebelum dia lari ke Lombok, Ahzlina bekerja sebagai kerani di sebuah kilang kayu di Padang Tengku, Pahang. Seorang rakannya memberitahu kami hal tersebut dan saya bergegas ke tempat kerjanya tetapi mendapati Ahzlina telah berhenti dan tidak dapat dikesan.
''Kami membuat laporan polis di sana dan sejak itu Ahzlina tidak pernah balik," katanya.
Sebagai ibu, Fatimah memaafkan perbuatan anaknya itu dan berharap dapat berjumpa bagi melepas rindu sementara dia masih hidup.
Menurutnya, sebelum menghilangkan diri, Ahzlina pernah memberitahunya yang dia mengenali seorang lelaki yang bekerja di kilang berhampiran tetapi sekadar kenalan biasa.
''Hubungan antara Ahzlina dan keluarga amat rapat tetapi tindakannya sanggup meninggalkan keluarga amat mengejutkan kerana sejak bekerja di Pahang selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007, Ahzlina pulang ke sini, sekurang-kurangnya sebulan sekali," katanya.
Selepas empat bulan melarikan diri, katanya, Ahzlina pernah menghubungi salah seorang adiknya memberitahu yang dia berada di Lombok Tengah, Indonesia dan telah berkahwin dengan teman lelakinya itu beberapa hari selepas tiba di sana.
''Dia minta maaf kerana berkahwin tanpa keizinan. Katanya, dia tidak sedar bagaimana boleh bersetuju mengikut teman lelakinya itu ke Lombok," katanya.
Menurut Fatimah, dia difahamkan anaknya sudah mempunyai seorang cahayamata Darwin Darlina Salleh, 2.
Sejak setahun lalu, anaknya itu kerap menghubungi keluarga untuk bertanya khabar selain mengadu kesukaran hidup di sana.
Dia berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk membawa pulang Ahzlina, suami dan anaknya kembali ke pangkuan keluarga.

sumber dipetik daripada Utusan Malaysia Online 22 Mac 2010

No comments:

Post a Comment