Tuesday, October 27, 2009

Majlis Pertabalan YDPB Negeri Sembilan

Pertabalan Penuh Adat Istiadat

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerima menghadap menjunjung duli Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Dohak pada Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, semalam. - BERNAMA

KUALA PILAH 26 Okt. - Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, 61, hari ini ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 dalam majlis penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini.

Istiadat pertabalan itu disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Petra Datuk Mubarak Dohak selaku Imam Undang Yang Empat.

Berangkat sama pada majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani.

Turut hadir tiga lagi Undang iaitu Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Hadir sama Putera Yang Empat - Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tunku Laxamana, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Turut berangkat pada majlis itu ialah wakil Raja-Raja Melayu termasuk wakil Sultan Brunei dan Yang Dipertua Negeri serta isteri masing-masing.

Tetamu kenamaan lain ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, menteri-menteri Kabinet, anggota Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Januari 1948 dan merupakan satu-satunya putera daripada enam beradik kepada pasangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-9, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan pasangan baginda, Tunku Ampuan Durah Tunku Besar Burhanuddin.

Pada istiadat yang berlangsung selama sejam bermula pada pukul 11 pagi bermula dengan Datuk Bentara Dalam, Aminuddin Abd. Rahman menyeru supaya Mubarak tampil menghadap dan melafazkan pertabalan Tuanku Muhriz yang telah sedia duduk di atas singgahsana dalam Balairong Seri bersama Tuanku Aishah Rohani.

Mubarak kemudiannya tampil dan menyeru kepada Datuk Bentara Kanan, Ibrahim Ujang: ''Adapun pada hari ini kami menabalkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan serukanlah sabda kami kepada sekalian rakyat menghadap dan menjunjung Duli.'

Sebaik lafaz berkenaan diseru, maka Ibrahim menyambut dengan menyembahkan seruan kesetiaan terhadap pertabalan Tuanku Muhriz.

''Hai, tuan-tuan sekalian, adalah Undang Yang Empat dengan adat istiadatnya menabalkan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan," ujar Datuk Bentara Kanan.

Selepas istiadat itu berlangsung, Datuk Seri Amar Diraja, Ahmad Minal dan Datuk Pegawai Yang Enam bangun untuk menurunkan daulat yang kemudiannya Datuk Bentara Kanan menyeru 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali.

Sejurus kemudian, lagu kebesaran Negeri Sembilan diperdengarkan beserta tembakan meriam 32 das daripada 41 Bateri Istiadat, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Adat istiadat itu diteruskan dengan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli oleh Undang Yang Empat diikuti oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung.

Kemudian diikuti istiadat menghadap oleh Datuk-Datuk Lembaga Luak dan Lembaga Waris Undang Sungai Ujong

Istiadat pertabalan itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad sebelum Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, wakil Raja Melayu dan wakil Sultan Brunei serta tetamu kehormat menuju ke dewan banquet istana untuk santapan dan jamuan tengah hari.

Terdahulu, pada pukul 10 pagi, Tuanku Muhriz menerima hormat Diraja dan memeriksa kawalan kehormat pasukan 41 Bateri Istiadat RAMD dengan diiringi 21 das tembakan istiadat di pekarangan Istana Besar Seri Menanti.

Hasrat Bangang M.Manoharan

Manoharan berhasrat bawa Tun M ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Peguam, M. Manoharan berhasrat untuk membawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung insiden yang berlaku di Kampung Medan pada 2001.

Hasrat tersebut dinyatakan kepada sekumpulan media selepas tamat prosiding kes penasihat Hindraf, P. Uthayakumar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Ketika ditanya kenapa beliau mengaitkan mantan Perdana Menteri itu dengan insiden tersebut, Manoharan menyatakan:

''Kerana pada masa itu, beliau merupakan Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri pada masa itu dan he's orchestrated the whole incident (dia yang merancang segalanya).''

Kampung Medan di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya pernah mencetuskan ketegangan kaum pada 2001 tetapi kini berubah wajah apabila penduduknya hidup aman damai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah itu turut menyatakan, beliau hanya mengikut saranan Dr. Mahathir yang dinyatakan dalam blognya bahawa semua penjenayah perlu dihadapkan ke mahkamah.

''Tapi beliau (Dr. Mahathir) tidak perlu risau kerana di Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu dia akan mendapatkan satu perbicaraan yang adil. Tidak seperti kami,'' katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya bila permohonan tersebut akan dibuat, Manoharan hanya menjawab: ''Apabila tiba masanya.''

Peguam yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Disember 2007 itu mengulangi beberapa kali hasratnya untuk membawa Dr. Mahathir ke muka pengadilan di peringkat antarabangsa sambil mengatakan bahawa dia serius untuk berbuat demikian.

Saturday, October 24, 2009

Bajet 2009: Bajet Prihatin ?

Hadiah Najib untuk rakyat

Najib Tun Razak diiringi Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri) meninggalkan Dewan Rakyat selepas membentangkan Bajet 2010, semalam.

Sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala sumpah janji dan khidmat diabdikan tidak lain tidak bukan, adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian

CUKAI

* Pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000.

Pengurangan kadar cukai maksimum individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus.

* Pelepasan cukai langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun pada 2010 hingga 2012.

KAKITANGAN AWAM

* Bayaran khas RM500 kepada penjawat Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib kerajaan pada Disember ini.

* Pinjaman pembelian komputer setiap tiga tahun berbanding lima tahun sekali sekarang.

RUMAH

* 74,000 unit rumah kos rendah disediakan untuk disewa kepada rakyat pada 2010.

KWSP

* Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.

* Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.

* Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

KWSP

* Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.

* Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.

* Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

PENDIDIKAN

* Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar mendapat ijazah kelas pertama.

* 30 pelajar terbaik menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor.

* Pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun.

* Diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh kepada pelajar dengan kad diskaun pelajar 1Malaysia.

Friday, October 23, 2009

BICARA AGAMA

Cara jawab salam bukan Islam

ISLAM tidak melarang umatnya menjalin hubungan yang baik dengan penganut agama lain terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia. - Gambar hiasan

Soalan:

SAYA selalu mengalami masalah di dalam pergaulan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Mohon penjelasan ustaz pendekatan terbaik yang disyorkan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW agar kekurangan yang ada tidak menimbulkan salah sangka terhadap agama yang suci ini akibat dari kejahilan saya.

Apa yang perlu dilakukan bila bertemu dengan sahabat yang bukan Islam, selalu kedengaran ucapan assalamualaikum tidak dibolehkan dan ucapan selamat dalam bahasa orang bukan islam tidak dibolehkan contohnya Vanakam (Tamil) Sastriakal (Punjabi) dam sebagainya?

Jawapan:

Seperti yang dijelaskan oleh para ulama di antaranya Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Uthaimin menjawab: Mendahului ucapan salam kepada orang bukan Islam adalah haram hukumnya.

Sebab Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan Nasrani. Apabila kamu bertemu mereka di suatu jalan, maka paksalah mereka kepada jalannya yang paling sempit. (riwayat Muslim)

Tetapi apabila mereka mengucapkan salam kepada kita, maka kita wajib menjawabnya, berdasarkan kepada umumnya firman Allah yang bermaksud: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa': 86).

Soalnya, salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam adalah lafaznya bermaksud baik, bukan cercaan dan bukan pula doa kehancuran seperti yang ucapkan oleh segelintir yahudi terhadap Rasulullah SAW.

Orang Yahudi mengucapkan salam kepada nabi SAW dengan ucapan: As-Samu 'alaika ya Muhammad! As-samu maksudnya kematian. Bererti mereka mendoakan mati kepada baginda. Lalu baginda menjawab: wa alaikum yang maksudnya, "dan ke atas kamu jugalah kematian".

Hari ini hampir kebanyakan orang bukan Islam fasih memberi salam. Sehingga kadang-kadang orang Islam yang mendengar menjawab secara spontan tanpa berfikir panjang akan hukumnya.

Kadang-kadang dah jawab baru perasaan yang bagi salam itu kawannya yang bukan beragama Islam.

Apabila bukan Muslim mengucapkan salam: Assalamualaikum, maka kita harus membalasnya dengan ucapan: Wa'alaikum. Perkataan beliau: Wa'alaikum, merupakan dalil bahwa apabila mereka mengucapkan: Assalamualaikum, yang bererti pada diri mereka ada keselamatan, maka kita juga membalas dengan ucapan yang sama.

Maka sebahagian ulama berpendapat apabila orang-orang Yahudi dan Nasrani mengucapkan secara jelas: As-salaamu 'alikum, maka kita juga boleh membalas dengan ucapan: Alaikum salam.

Kesimpulan jawapan ini dapat saya katakan: "Orang muslim tidak boleh memulai ucapan salam kepada bukan Muslim. Sebab Nabi SAW melarang hal itu, di samping hal itu merendahkan martabat orang muslim bila harus mengagungkan orang bukan Islam".

Orang muslim lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah. Maka tidak selayaknya dia merendahkan diri dalam hal ini. Tetapi apabila mereka yang lebih dahulu mengucapkan salam kepada kita, maka kita boleh membalasnya seperti salam yang mereka ucapkan.

Namun di sini saya mempunyai cadangan salam diharus diucapkan kepada kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam. Ucapan salamnya adalah: Assalamulaikum man ittaba' al-Huda' yang bermaksud: salam sejahtera ke atas mereka yang menurut (mengikut) petunjuk (Islam).

Maksudnya salam sejahtera yang diucapkan itu tertangguh sehingga dia mendapat hidayah dalam masa yang sama kita memohon hidayah daripada Allah SWT.

Salam inilah yang menjadi pembuka bicara dalam surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada pembesar-pembesar negara dalam misi menyebarkan empayar Islam. Cuma di negara kita dan mana-mana negara Islam yang lain juga tidak digunakan ucapan ini.

Saya pernah mengucapkan demikian kepada seorang kawan yang bukan beragama Islam, lalu dia tanya. Apa maksudnya, dan kenapa lain?

Saya jelaskan bahawa kesejahteraan sebenarnya bagi seseorang itu ialah apabila dia menjadikan agama Islam sebagai cara hidup, dan itu satu-satunya jalan selamat bagi kesejahteraan.

Saya dapati dia berfikir panjang dan meneruskan soalan berkaitan Islam dengan penuh minat. Hari ini dia bergelar seorang muslim.

Manakala ucapan good morning dan selamat sejahtera tidaklah haram hukumnya. Kita juga tiada ucapan lain dalam uruf (suasana atau kebiasaan) hari ucapan selain itu.

Ada segelintir ulama mengharamkan ucapan salam sejahtera dan hampir sama maknanya dengan alasan orang Islam lebih mulia dan tinggi dari orang bukan Islam maka kita tidak seharusnya merendahkan diri dengan memberi ucapan kepada orang bukan Islam.

Mungkin ada benarnya dari konteks hukum tapi tidak dari konteks dakwah. Maka tidak salah dan harus kita mengucapkan salam sejahtera, very good morning dan seumpamanya, mudah-mudahan kerahmatan Islam lebih menyerlah.

Orang bukan Islam juga berhak menerima ucapan-ucapan yang baik dari orang Islam sebagai jambatan keharmonian dan kesejahteraan.

Thursday, October 22, 2009

Cadangan Kanak- Kanak Tadika DI Parlimen

Cadangan tahanan ISA dapat pingat cetus pertikaman lidah

KUALA LUMPUR 21 OKt. - Perbahasan Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan pertikaman lidah gara-gara cadangan wakil pembangkang supaya bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut dikurniakan pingat seperti mana diterima anggota pasukan keselamatan.
Keadaan kemudian bertambah hangat apabila Datuk Ismail Abd. Mutalib (BN-Maran) yang menempelak cadangan tersebut menyifatkan saranan pembangkang itu umpama mengurniakan pingat kepada perompak.
"ISA adalah Akta Keselamatan. Orang diambil tindakan bawah akta ini kerana mereka boleh jejaskan keselamatan. Orang tak terlibat tak kena. Jadi, siapa yang kena maknanya dia tak baik.
"Ini macam perompaklah, dia kata merompak tu baik sebab itu kerja dia. Tapi dari segi peraturan salah. Takkan kita nak kena beri juga pingat kat perompak.
"Inilah sebabnya saya kadang-kadang kecewa dengan sebahagian pembangkang. Apa yang dilakukan polis dan pasukan keselamatan tak dihargai, seolah-olah keselamatan kita terpelihara kerana kita sendiri," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (Elaun Kenangan).
Jawapan tersebut menyebabkan beberapa wakil pembangkang bangun membantah kerana menyamakan bekas tahanan ISA yang disebut Ismail dengan perompak.
Dr. Lo'lo Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) menegaskan, ungkapan tersebut adalah salah kerana bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela sendiri pernah dipenjara tetapi kemudian diangkat ke jawatan tertinggi.
Selain itu, Khalid Samad (Pas-Shah Alam) pula membidaskan Ismail kerana tidak memahami apa yang dicadangkan Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) supaya tahanan ISA turut dikurniakan pingat bagi menghargai sumbangan mereka kepada negara.
"Orang ini (tahanan ISA) telah ditahan maka pengorbanan mereka patut dihargai. Ini sumbangan mereka ke arah demokrasi yang matang.
Mendengar jawapan itu, Ismail berkata:
"Saya dah jelaskan contoh. Kalau ISA punya kes, memang jelas ia ancaman negara. Serupa macam perompak. Itu pun tak boleh fikir.
"Sebab itulah sebagai Ahli Parlimen BN saya berterima kasih atas jasa pasukan keselamatan. Ada antara mereka yang telah pergi, tak rasa nikmat macam yang kita rasa hari ini. Kenapa Yang Berhormat tak boleh berterima kasih kepada pasukan keselamatan."

Tuesday, October 20, 2009

TERATAK KELAHIRAN TUN DR.MAHATHIR MOHAMAD


Kediaman Tun Mahathir Mohamad dan keluarga di Kilang Ais, Bersebelahan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.



Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir dijadikan Muzium oleh Arkib Negara Malaysia untuk memudahkan orang awam dan agensi-agensi berkaitan membuat rujukan mengenai kehidupan Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Beca yang ditarik oleh manusia...digunakan oleh ayahanda Tun Dr. Mahathir untuk menghantar Tun Dr. Mahathir dan adik beradiknya ke sekolah...





Sacecbis Kisah Kehidupan Tun Dr. Mahathir Mohamad


 Catatan dari buku Surat Dr. Mahathir


POLITICAL Euphoria. Istilah dari kancah politik dunia Barat menurut kenangan pembaca ketika membaca buku berjudul Surat Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Kerana kegirangan politik yang seumpama juga berlaku dalam masa interaksi mereka.
Hubungan di antara kedua meliputi pelbagai bidang. Ada kalanya akrab kerana pandangan politik yang sejurusan.
Pertemuan pertama mereka berlaku puluhan tahun lampau ketika Zam tinggal “di perkampungan haram Seberang Kereta Api Sungai Korok, lebih sebatu dari Bandar Alor Setar, di sebuah rumah buruk, sebuah keluarga miskin sedang menghadap lelaki tua yang sedang uzur.“ ”Ibunya segera menyuruhnya memanggil doktor dan ia terus berlari ke bandar. Dicatat seterusnya:
“Doktor, datuk saya sakit teruk,
“Di mana?
“Di Seberang Kereta Api Sungai Korok, masuk ikut lorong Sekolah Najat sehingga ke penghujung jalan dan terpaksa jalan kaki ke rumah saya kerana kereta tidak boleh masuk.
“Baiklah, pulang dahulu, nanti saya datang.”
Tidak lama kemudian doktor pun datang. Dia tidak bercakap banyak, hanya memeriksa dan memberikan ubat kepada pesakit. Apabila ditanya tentang bayarannya, doktor berkata: “Berapa yang ada berilah.” Ibu memberikannya dua ringgit dan doktor mengambilnya lalu pulang.
Peristiwa yang dialami lebih 30 tahun dahulu itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa saya hingga ke hari ini. Pada masa itu, doktor tidak mengenali saya dan saya pun tidak pernah menemuinya. Ketika itu saya masih belajar di Maktab Mahmud Alor Setar. Langkah saya ke kliniknya semata-mata didorong oleh cerita dari mulut ke mulut tentang seorang doktor yang baik di Bandar Alor Setar, Dr. Mahathir Mohamad, Demikian catatan pertama Zam.
Di waktu itu Dr. Mahathir memiliki kereta “paling besar di bandar Alor Setar iaitu kereta Pontiac yang menyaingi kereta besar beberapa orang doktor bukan Melayu,” Zam menambah.
Diceritakan selanjutnya ialah beberapa peristiwa semasa Dr. Mahathir 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan lebih 60 tahun dalam arena politik negara. Zam sendiri menjadi pemberita Utusan Melayu hingga menyandang jawatan ketua pengarang. Dengan itu interaksi mereka berlanjutan.
Oleh Zam disebut bahawa watak kewartawanan sukar dipisahkan daripada dirinya. “Maka itu adalah tepat sekali deskripsi yang dibuat oleh Dr. Mahathir dalam majlis pelancaran buku tulisan saya. Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot bahawa “Zam adalah kawan saya tetapi kawan yang adakalanya menyukar.”
Lalu Zam mengulangi kenyataan Dr. Mahathir dalam satu majlis Kelab Akhbar Malaysia pada akhir 1980-an ketika Zam menjadi presiden, iaitu kritik terhadap sikap media selalu mendakwa bersuara bagi pihak rakyat. “Tuan-tuan tidak dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya, bagaimanakah tuan-tuan boleh mendakwa bercakap bagi pihak rakyat?”
Zam kemudian menjawab dalam ucapannya: “Kami dipilih oleh rakyat setiap hari, orang ramai membeli akhbar setiap hari, selagi akhbar laku, maka selagi itu kami percaya bahawa kami dipilih oleh rakyat, apabila pasaran akhbar meningkat, bererti semakin ramai rakyat yang memilih kami, suara kami semakin kuat dan semakin sah apabila pasaran semakin tinggi.”
Lain hal berlaku, Zam menyambung cerita: “Apabila saya disingkirkan daripada jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan pada akhir 1992, kerana isu bahasa, saya telah menemui Dr. Mahathir bukan untuk meminta disambung kerja tetapi untuk mengetahui sendiri apakah benar beliau sendiri yang mahu menyingkirkan saya. Dr. Mahathir menyatakan: “Zam, saya tak boleh buat apa-apa lagi, semua Majlis Kerja Tertinggi telah menghentam you, saya berpuas hati.”
Penyingkiran itu “tidak terus memisahkan saya daripada Dr. Mahathir,” Zam menambah.
Juga dicatat ialah “kerajinan” Dr. Mahathir menulis surat kepada Zam ketika beliau masih berada di Alor Setar dan Zam menjadi wartawan di Kuala Lumpur dan semasa menjadi wakil Utusan di London ketika Dr. Mahathir menjadi Menteri Pelajaran dalam tahun 1975-1976.
Bab Surat Daripada Dr. Mahathir menyebut antara hasil interaksi kedua. “Memahami caranya berfikir dan bertindak selama beberapa tahun terutama ketika beliau berada dalam krisis politik memudahkan saya mengendalikan Utusan Melayu dan Utusan Malaysia ketika saya menjadi Ketua Pengarangnya dari tahun 1982-1992 dan semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Surat daripada Dr. Mahathir berupa tambahan kepada buku berjudul Mahathir Di Sebalik Tabir dan pelbagai peristiwa mengenai persaraan beliau. Pada suatu ketika Zam menulis: “Saya menangis seorang diri di bilik kerja di rumah,” ketika mengenang kembali pelbagai peristiwa.
Dari asal anak miskin beliau menjadi wartawan, mendapat fellowship Universiti Michigan, menjadi Ketua Pengarang akhbar dan kemudian menjadi Senator, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri Penerangan. Juga dicatat ialah penghargaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti ditulis: “Saya amat menghargai Dr. Mahathir yang mengenang jasa saya kepadanya. Beliau membalas budi kepada saya sebagai wartawan. Sementara Abdullah rakan sejawat saya yang mempunyai latar belakang hampir sama dengan saya telah melihat potensi mengekalkan saya, mengesahkan pengiktirafan yang diberikan oleh Dr. Mahathir kepada saya dengan mengangkat saya menjadi menteri penuh.”
Zam mencatat antara lain nasihat Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam UMNO: “Dalam politik yang penting sekali ialah acceptability dan intelligence adalah yang kedua.”
Surat dari Dr. Mahathir kepada Zam di London pada 29 November 1975: “Coret-coret dari London masih saya baca tetapi tidak begitu menarik pada masa-masa yang lampau ini. Nampak saudara begitu tertarik dengan adat resam British Yes, what do you want, love? Dan sebagainya.” Dan lain-lain surat.

 (sumber dipetik daripada Utusan Malaysia Online,arkib 15/02/2009, tulisan Mazlan Nordin)