Friday, November 20, 2009

Yes...Selesai sudah satu lagi Semester

Berakhir sudah semester kali nie..Semester depan dah masuk masuk semester enam..juga bakal menjelma tahun baru yang akan meningkatkan umur aku...Alhamdulillah semua paper final exam sem 2009/2010 dah selesai...Selamat bercuti semester kepada seluruh mahasiswa seluruh Malaysia khususnya kepada Mahasiswa UUM...Selamat bercuti kepada sahabat-sahabatku sama ada ketika di sekolah mahupun sahabat-sahabat di UUM nie...Sebelum terlupa selamat Hari Raya Aidiladha...Jadikan sebuah pengorbanan itu satu permulaan untuk mengecapi sebuah kehidupan yang bahagia....Jumpa lagi semester depan...Good Luck...

Sunday, November 15, 2009

Sekadar menulis

Menagih Kasih Di Bumi Sendiri

Hari ini kita bergaduh hanya kerana berebutkan kuasa.
tanpa kita sedar pertelingkahan sesama kita memang sedia dinanti,
mereka bukan datang membela,
mereka juga menjadi pendamai,
tetapi mencelah membakar api dendam antara kita,
akhirnya kita kalah di bumi sendiri.

kenapa tidak kita berganding bahu,
agar yang berat dapat menjadi ringan,
yang susah kita membantu,
kenapa harus sulitkan keadaan,
jangan sengketa jadi jalan penyelesaian,
kerna ianya akan mengundang keburukan.

Hari kita berada dipuncak kuasa,
tapi jangan lupa yang sejarah sering berulang,
andai kita hilang pertimbangan,
maka kita akan merempat di bumi tercinta,
mengemis untuk mencari kehidupan,
meminta ihsan dari petualang.

Nukilan Waris Alam (20091115)
Universiti Utara Malaysia
05:18 PM

Transformasi zaman... Ye ke?


l


Yang ini orang yang paling rapat ngan aku....masih muda dan masih baru dalam melayari alam kehidupan..baru beusia 10 tahun.....Just saja nk masukkan dalam blog ni sebb taktau nak menulis apa..biasala tengah final exam gini....blur nak menulis....budak nie lak bakal masuk alam baru..tadi ayahanda aku bagitau nk sunatkan budak nie hujung bulan nie..nasib kau la adik aku ngan abg kau yang sorang lagi tak dapat nk balik awal....aku ada exam lagi wahai adik..abag kau lak dok keja kt penang nu...x cuti kot..relaks aaa x sakit...ko jangan nagis sudah....

Wednesday, November 11, 2009

Lawatan Presiden China ke Malaysia

Kerjasama Malaysia-China




Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengiringi Presiden China, Hu Jiantao bersama isteri, Liu YongQing pada majlis sambutan negara untuk Presiden China itu di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN/Ahmad Zaki Jillan





Kuala Lumpur 10 Nov. – Presiden China, Hu Jintao berharap lawatan beliau ke Malaysia kali ini akan membawa hubungan strategik dan kerjasama Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat persefahaman dan persahabatan yang lebih baik antara kedua-dua negara hasil daripada lawatan itu.
“Saya berhasrat untuk mengadakan sesi bertukar-tukar pendapat yang terperinci dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung hubungan Malaysia dan China serta isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama.
“Pada masa yang sama, saya juga ingin melihat jalinan hubungan yang lebih erat dengan sahabat-sahabat dalam pelbagai sektor di Malaysia,” katanya.
Jintao berkata demikian dalam kenyataan bertulis yang diedarkan di hotel penginapan beliau di sini hari ini.
Jelas beliau, kedua-dua negara menjadikan kerjasama strategik dalam suasana baru, kestabilan serta kemakmuran serantau dan sumbangan rakyat sebagai matlamat utama.
“Ini merupakan matlamat yang dikongsi oleh Malaysia dan China sebagai negara yang sedang membangun di rantau Asia Pasifik.
“Hubungan dua hala Malaysia dan China yang terjalin selama 35 tahun sudah menyaksikan peningkatan pantas lawatan dan hubungan antara rakyat di kedua-dua negara,” katanya.
Selain daripada itu, tambahnya, kedua-dua negara turut mencatatkan peningkatan kerjasama dalam semua bidang.
Katanya lagi, Malaysia merupakan ‘jiran’ mesra bagi China dan rakyat di kedua-dua negara turut menyanjung tinggi hubungan persahabatan yang terjalin.
“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan dan salam persahabatan daripada rakyat China di atas kesudian menjadi tuan rumah dan kemesraan rakyat Malaysia di sini.
“Saya juga rasa begitu terhormat dengan lawatan negara saya ke Malaysia kali ini di atas jemputan Tuanku Mizan. Semoga Malaysia menikmati kemakmuran dan rakyatnya mendapat kesejahteraan,” jelasnya.
Jintao tiba di hotel penginapan dengan diiringi oleh Tuanku Mizan.
Selepas baginda berangkat pulang, beliau menerima kunjungan hormat Datuk Seri Najib Tun Razak selama lebih kurang 15 minit.
Kehadiran beliau di hotel penginapan turut menyaksikan kawalan ketat polis serta penutupan Jalan Sultan Ismail untuk kenderaan awam buat sementara waktu.
Biarpun mempunyai pas media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil media tempatan dan media asing yang beroperasi di Kuala Lumpur dihalang daripada berada dalam bangunan hotel penginapan Jintao ketika pemimpin China itu menerima kunjungan hormat Najib.
Jurugambar turut dilarang daripada mengambil gambar ketika pemimpin China itu tiba di hotel penginapan sambil diiringi Tuanku Mizan.
Difahamkan arahan untuk menghalang wartawan tempatan daripada memasuki bangunan hotel dan membuat liputan ketibaan Jintao adalah atas permohonan pihak berkuasa China atas sebab keselamatan.
Petugas media dari negara China yang mengiringi Jintao bagaimanapun bebas membuat liputan.

Najib kunjungi Presiden Hu Jintao




Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Hu Jintao dan isteri, Liu YongQing (kiri), Najib Tun Razak serta Rosmah Mansor di Istana Negara, malam tadi. - BERNAMA





KUALA LUMPUR 10 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Hu Jintao serta isteri, Liu YongQing, yang sedang melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia di Hotel Shangri-La di sini.
Najib, yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Hu dan isteri.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan isteri, Datin Seri Chooi Yoke Chun.
Pemimpin China itu dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia sebelum melawat Singapura pada 12-13 November.
Kunjungan Hu bagi membalas lawatan rasmi Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2005, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong dan kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke negara itu semasa majlis perasmian sukan Olimpik Beijing pada Ogos tahun lepas.
Lawatan Presiden China itu ke negara anggota ASEAN — yang pertama seumpamanya dalam tempoh 15 tahun oleh ketua negara China akan membantu mengeratkan lagi hubungan China-ASEAN.
Kunjungan terakhir sebelum ini oleh ketua negara China ke Malaysia dilakukan Presiden Jiang Zemin iaitu pada November 1994. Ini adalah kunjungan kali kedua Hu ke Malaysia, setelah melawat negara ini sebagai Naib Presiden China pada Mei 2002. - BERNAMA


(sumber dipetik daripada Utusan Malaysia, 11 November 2009)

Cadangan kerana Ikhlas atau Untuk Pengaruh Politik?

Wakil rakyat Pas cadang Baitulmal dibuka kepada bukan Islam

SHAH ALAM 10 Nov. - Seorang wakil rakyat Pas menyarankan agar Baitulmal dibuka kepada bukan Islam supaya faedahnya dapat dinikmati oleh semua
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar berkata, langkah itu bertujuan mengatasi kekurangan sumber Baitulmal kerana penyumbangnya terhad kepada orang Islam sahaja.
Menurutnya, konsep Baitulmal itu berbeza dengan zakat yang merupakan satu kewajipan kepada orang Islam dan hanya boleh digunakan untuk kegunaan mereka.
''Kita kena membezakan antara zakat dan Baitulmal. Baitulmal sepatutnya menggunakan konsep terbuka kepada masyarakat dan tiada kaitan dengan konsep agama.
''Masalah Baitulmal ialah kekurangan sumber kerana kita hanya membuka kepada orang Islam untuk memberi sumbangan.
''Masalah ini boleh diatasi jika ia juga dibuka kepada bukan Islam," katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, kajian terperinci perlu dilakukan kerana Baitulmal biasanya dikaitkan dengan orang Islam.
Katanya, salah satu sumber Baitulmal adalah dalam bentuk amanah yang bersifat sementara dan perlu dipulangkan semula kepada pemilik asal apabila dituntut.
Menjawab soalan asal yang dikemukakan Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) yang ingin tahu prestasi Baitulmal Selangor dalam menguruskan harta masyarakat Islam, beliau berkata: ''Hasil berbentuk pendapatan dibenarkan oleh syarak untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan."
Hasan berkata, sumber pendapatan Baitulmal ketika ini adalah daripada sewaan, faraid, syubhah, pulangan projek pembangunan hartanah dan sumbangan masyarakat tetapi kesemua jumlah itu terhad dan hanya digunakan untuk perbelanjaan mengurus operasi dan pembangunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

(sumber Utusan Malaysia,11 November 2009)

Selepas pelbagai isu yang panas di media massa nie ada la isu yang pelik tapi benar...Sebelum nie pasal pemulangan arak yang dirampas pihak berkuasa tempatan di Selangor, isu penangkapan Dr. MAZA (singkatan nama bekas Mufti Perlis) oleh JAIS...Nie isu nak beri hasil sumbangan Baitulmal kt yg bukan Islam lak...Wahai wakil2 rakyat kamu fikirlah sikit jangan main hemus ja ketika berhujah kat Parlimen tue...Berfikir guna akal jangan hanya untuk kepentingan politik..Tak kemana kamu akhirnya nanti tersungkur juga dek perbuatan sendiri....

Mencari Jalan Ke Tali Gantung

Suami isteri edar dadah ditahan

TAIPING 10 Nov. - Sepasang suami isteri yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan selepas didapati mengedar dadah jenis heroin di rumah mereka di Taman Jana Jaya, Kamunting, dekat sini malam Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, hasil penahanan kedua-duanya pada pukul 9.30 malam itu, polis menemui 75 peket heroin seberat 300 gram yang dianggarkan bernilai RM19,000.
"Turut dirampas ialah wang tunai RM3,661, sebuah motosikal, satu komputer riba serta beberapa barangan kemas bernilai RM12,000.
"Pasangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.
"Polis juga akan menyita semua harta mereka jika terbukti dibeli daripada hasil pengedaran dadah," katanya di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 56 tahun kerana disyaki mengedar dadah di perkampungan nelayan di Seberang, Kuala Sepetang, semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 56 tahun itu menemui 13 peket plastik dadah jenis heroin seberat 16 gram bernilai RM1,000.
Tambah beliau, pihaknya turut mengesan kira-kira 50 orang terlibat semula dalam pelbagai kesalahan berkaitan gejala dadah setiap bulan.
Katanya, kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun dan 60 peratus daripada mereka terlibat menyalahguna dadah sintetik.

(sumber Utusan Malaysia, 11 November 2009)

Musim Haji Bakal Menjelang tiba

1.5 juta jemaah berkumpul

MEKAH 10 Nov. - Jumlah jemaah haji yang mengunjungi tanah suci Mekah kini telah mencecah lebih 1.5 juta orang sehingga keadaan di sekitar Masjidil Haram menjadi terlalu sesak.
Antara jemaah yang banyak tiba sejak semalam adalah dari Iran, negara-negara Afrika dan Asia Tengah selain dari China dan Turki.
Kehadiran jemaah dari Indonesia bagaimanapun masih mendominasi keadaan sama ada di Masjidil Haram atau kawasan persekitarannya.
Tinjauan pasukan petugas media Tabung Haji di Masjidil Haram hari ini mendapati keadaan sesak berlaku di dataran yang menempatkan Kaabah dan laluan sa'i.
Di sekitar Kaabah, ribuan jemaah yang baru tiba untuk melakukan tawaf umrah terpaksa bersaing dengan jemaah yang melakukan tawaf sunat sehingga pergerakan mengelilingi Kaabah menjadi terlalu perlahan.
Jemaah dari Pattani, Thailand, Qassim Mat Sah, 51, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana hanya mengambil masa hanya dua tahun sahaja mengumpulkan wang untuk mengerjakan haji bersama isterinya.
''Nak kumpul duit tak payah. Kena pula harga getah naik dan cepatlah ambo simpan duit ke Mekah," katanya dalam loghat Kelantan.
Menurut Qassim, beliau mengeluarkan belanja sebanyak 145,000 bath (RM14,500) untuk tujuan tersebut dan semuanya hasil penat lelahnya menoreh getah di kebun seluas kira-kira 2.5 hektar.
''Kita tak ada agensi macam Tabung Haji, semuanya diuruskan oleh swasta," katanya.
Seorang lagi jemaah dari Pattani, Abdul Aziz Che Hussin, 60, memberitahu, azam kuat untuk mengerjakan haji membuatkannya berjimat-cermat bagi mengumpulkan wang ke tanah suci.
''Keadaan di Selatan Thailand belum stabil dengan sekali-sekala berlaku letupan bom dan tembak- menembak. Memang susah nak cari rezeki tapi Allahamdullillah, pak cik dapat juga kumpul duit ke Mekah," katanya yang juga memiliki kebun getah dan sayur-sayuran.
Seperti juga Qassim, Abdul Aziz hanya mengambil masa dua tahun untuk mengumpulkan duit sebanyak 150,000 bath (RM15,000) melalui pakej swasta ke tanah suci.
Beliau memberitahu, kebanyakan jemaah Pattani yang mampu mengerjakan haji terdiri daripada peniaga atau penoreh-penoreh getah terutama yang mengusahakan kebun seluas berekar-ekar.
Abdul Aziz yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sini begitu kagum dan bersemangat melihat sebegitu ramai umat Islam dari seluruh dunia.
''Gembira tengok jemaah terlalu banyak," katanya yang turut ditemani isteri.
Sementara itu, Ketua Delegasi Jemaah Haji Iran, Masood Mujarredi berkata, pihaknya akan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan jemaah dari negara itu melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.
''Mungkin ada perbezaan antara dua negara tetapi perbezaan itu tidak sepatutnya timbul apabila melibatkan rukun Islam. Kami sedia bekerjasama untuk kebaikan semua muslim," tegasnya kepada akhbar al-Madinah dan dilaporkan oleh akhbar Arab News, hari ini.
Masood juga menolak spekulasi bahawa ada jemaah Iran akan mengadakan demonstrasi pada musim haji ini dan menjelaskan bahawa buku-buku yang dibawa oleh jemaahnya hanya buku panduan cara-cara menunaikan ibadat tersebut dan bukannya dokumen propaganda. - Utusan

(sumber Utusan Malaysia, 11 November 2009)

Tuesday, November 10, 2009

Salam Takziah kpd Saudarku

Salam takziah kepada Nurul Huda bt Halim dan keluarga diatas kepulangan ayahanda merangkap ketua keluarga pada 10 November 2009 (22 Zulkaedah 1430 Hijrah)...Semoga anda dan seluruh keluarga tabah dan sabar menghadapi situasi ini...Sesungguhnya Allah lebih menyayangi Allayarham...Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan golongan yang beriman...Al-Fatihah.......

Monday, November 2, 2009

Fikirkan !!!!!

Balada Terbununhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandarya
Karya Usman Awang

Beringin tua di pinggir jalan raya
di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratudan tahun usinya berdiri
menadah mentari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, disini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya.

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang
gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara beringin rebah ke bumi.

Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang
dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan
selamat tinggal,selamat tinggal wahai awan
selamat tinggal mentari, selamat tinggal bulan
selamat tinggal kupu-kupu sayang
selamat tinggal wahai burung-burung bersarang
selamat tinggal anak-anak bermain riang
namaku Beringin pohon tua yang terbuang
dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan.

Sunday, November 1, 2009

Baca dan FikirkaN

Destinasi roket bukan ke bulan
SEBAGAI umat Islam kita mesti percaya dan patuh apa jua yang datang daripada Allah SWT, kerana kita adalah makhluk ciptaannya. Namun, pada masa yang sama kita juga perlu tahu realiti politik negara dan masyarakat kita.
Bolehkah diwujudkan negara Islam yang melaksanakan hukum Islam jika penduduk negara ini tidak solid atau hampir seratus peratus Islam. Bagaimanakah kita mahu paksa bukan Islam yang hampir 50 peratus menerima hukum Islam? Mungkin kita akan berhujah, hukum Islam adalah untuk orang Islam sahaja. Manakala bukan Islam berhukum mengikut ajaran agama mereka. Persoalannya, pernahkah parti atau mereka ultra kiasu bersetuju dengan idea tersebut? Tidak perlu saya peringatkan lagi jawapan mereka.
Saya amat hairan, kenapa kita terhegeh-hegeh mahu naik roket bersama mereka menuju ke bulan? Sedangkan kita sudah tahu destinasi roket tersebut bukan ke bulan. Saya bimbang mereka yang membawa roket tersebut sudah bersiap sedia dengan payung terjunnya bila mereka tahu roket tersebut tidak boleh dibiarkan sampai ke bulan. Jika begitulah keadaannya, kenapa kita sanggup naik roket tersebut bersama mereka? Kenapa kita tidak tukar sahaja roket tersebut kepada lain pesawat yang sudah ada destinasinya cuma mungkin pendekatan berbeza?
Tidakkah kita boleh duduk semeja dan berbincang untuk ke destinasi tersebut. Kalau pun tidak mahu menaiki bersama, sekurang-kurang mulakan langkah pertama, bersua muka atau duduk semeja membincangkan apakah langkah terbaik untuk sampai ke destinasi? Jangan terus bersangka buruk? Kenapa boleh bersangka baik dengan musuh yang sudah jelas niat buruknya?
Kita perlu fikirkan bersama bagaimana nilai-nilai Islam boleh dilaksanakan di negara kita daripada bercakap soal hukum yang amat sukar dilaksanakan kerana majoriti-minoriti kita tidak besar. Mungkin Brunei, Pakistan dan negara Arab yang lain tidak sukar untuk melaksanakan hukum Islam. Tetapi di Malaysia tidak sedemikian geografi penduduknya.
Adalah lebih baik nilai-nilai Islam diperkasakan terlebih dahulu kerana saya yakin nilai-nilai Islam turut dikongsi oleh semua agama. Saya tidak nampak ada satu pun nilai-nilai baik Islam ditolak oleh agama lain. Apa yang diharamkan oleh Islam turut diharamkan oleh agama lain seperti berzina, berjudi, minum arak, mengumpat dan lain-lain. Yang menolak nilai agama hari ini adalah kalangan mereka yang terlampau ghairah dengan cara hidup barat yang mengagung-agung hak asasi manusia. Hari ini ternyata hak asasi yang keterlaluan telah menghancurkan barat. Barat mula sedar akan kepentingan hidup beragama (Ziglar, 2000).
Di kala barat sudah mula menghampiri agama, adakah kita mahu menerapkan kehancuran yang telah mereka alami ke dalam kehidupan kita. Sebenarnya terlalu banyak persamaan nilai dalam agama-agama yang masih belum kita laksanakan. Ini yang saya belajar semasa menganut agama Buddha dan Kristian satu masa dahulu. Persamaan itulah yang perlu kita cari dan selesaikan untuk dilaksanakan, bukannya membuang masa membincangkan sesuatu yang jauh dari realpolitik dan amat sukar dilaksanakan. Akhirnya, wang ringgit dibazirkan, kerana membincangkan perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana tidak memahami realpolitik dan berpecah belah tidak tentu pasal. Siapakah yang rugi sebenarnya?
Pengkaji
Saya bukan menolak negara Islam dan hukum Islam, tetapi selaku pengkaji politik, saya membaca realiti politik Malaysia. Saya sedih dan amat khuatir melihat umat Islam berpecah. Kita sudah terlepas Singapura, adakah kita mahu lihat Singapura kedua selepas ini? Apakah kita tidak boleh membaca pemikiran ultra kiasu ini? Mereka begitu bersungguh- sungguh menyerang kita dengan berani. Apakah kita mahu terus mengalah?
Kita lihat sahaja nasib yang menimpa ahli parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin. Saya amat bersimpati dengan beliau. Niat beliau baik, mahukan kondom dan arak tidak dijual secara terang-terang di kedai serbanika. Tetapi pandangan beliau telah diserang habis-habisan oleh golongan ultra kiasu ini, terutama wanita bukan Islam yang tidak memakai kondom. Sepatutnya, kaum lelakilah yang lebih beriya-iya membantah, sebab mereka yang memakai kondom, malangnya mereka yang tidak memakai kondom yang begitu berani, mahukan kondom dijual di khalayak dan digunakan ketika melakukan hubungan seks ‘secara selamat’. Lebih menyedihkan orang Islam pun menentang sama. Apakah dengan hanya memakai kondom hubungan seks dikira selamat? Kenapa tidak pertikaikan sebab-musabab mereka memakai kondom? Apakah mereka yang memakai kondom itu sudah bernikah atau tidak?
Saya yakin kebanyakan mereka yang menggunakan kondom adalah kalangan yang mengamalkan seks bebas. Bagi pasangan suami isteri, agak jarang mereka menggunakannya, sebab yang Allah berikan itulah yang terbaik sekali digunakan tanpa diubahsuai. Tetapi bagi mereka yang tidak percaya kepada Tuhan, seks bebas itulah pilihan, maka bersepah-sepah kondom di merata tempat. Mereka yang melanggar perintah Tuhan tidak perlulah dibela sangat, berbanding mereka yang mahu mengikut perintah Tuhan. Saya yakin, bagi pasangan suami isteri, jika mereka menggunakan kondom pun, mereka tahu erti malu, kondom akan dibeli secara ‘rahsia’ dan disimpan di tempat sepatutnya.
Tetapi bagi mereka yang tidak tahu malu, secara terang dan bangga membeli kondom dan arak di khalayak. Apakah mereka yang menggunakan kondom benar-benar merasakan seks selamat, sedangkan perbuatan mereka tidak selamat?

(sumber dipetik dari ruangan Rencana, Utusan Malaysia (Utusan Online), 1 November 2009)

Ajaran Sesat: Mengancam Keruntuhan Akidah Muslim

Ajaran Sesat Kahar Ahmad

oleh Mohamad Isa bin Abd Ralip

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 21hb. Oktober yang lepas telah  menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan terhadap lelaki yang mendakwa dirinya Rasul Melayu iaitu Abdul Kahar Ahmad, 59.
Abdul Kahar dituduh mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor, 1995 kerana menyebarkan doktrin palsu, mengaku diri seorang rasul, mempersendakan agama, menyebarkan pendapat bertentangan dengan fatwa dan mengingkari dan melanggar arahan mufti, empat tahun lalu. Beliau telah mengaku salah di atas kelima-lima kesalahan yang telah dipertuduhkannya serta di dalam hujah mitigasinya telah menyatakan kepada Mahkamah bahawa beliau telah bertaubat. Namun demikian ketika membaca penghakiman Yang Arif Abu Zaky Mohamad menyatakan bahawa Abdul Kahar telah gagal memberi bukti dia sudah bertaubat nasuha.
Berkaitan dengan doktrin palsu, Seksyen 7 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor telah memperuntukan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syara’ atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini.
Sehubungan dengan itu, mana-mana orang melakukan kesalahan ini  apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Pada masa yang sama adalah menjadi suatu kesalahan juga di bawah seksyen 8 Enakmen yang sama bagi mana-mana orang yang mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai rasul atau nabi, Imam Mahadi atau wali atau menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia, sedangkan perisytiharan, pernyataan atau dakwaan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, dengan kesalahan tersebut orang itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Doktrin palsu atau dengan kata lain iaitu ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertantangan daripada Islam yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Terdapat beberapa ajaran sesat yang ada di negara kita ini yang sebahagiannya telah difatwakan sebagai sesat dan ada yang masih di dalam proses siasatan oleh pihak berkuasa agama. Boleh dikatakan sehingga kini hampir setiap buah negeri di Malaysia terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap dan adakalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh tertentu dan kadang-kadang ianya juga dikaitkan dengan artis-artis tempatan.
Di antara ciri-ciri ajaran sesat yang didapati di Negara kita ini adalah seperti berikut :-
i. Mengaku dirinya sebagai Nabi dan mendakwa menerima wahyu
ii. Mempercayai ada Nabi-nabi lain selepas Nabi Muhammad.
iii. Mempercayai wahyu masih lagi turun  selepas wafatnya Rasulullah saw.
iv. Mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya.
v. Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.
vi. Mendakwa pengikut-pengikut ajarannya sahaja akan masuk syurga.


Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat di dalam masyarakat Islam di  Malaysia bukanlah satu perkara baru dan tidak disedari tetapi kadang-kadang ajaran sesat itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk di antara benar dan yang salah. Perkara yang paling rumit dan kritikal sekali ialah di dalam ajaran-ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan yang lain. Hakikatnya, ajaran sesat bukanlah suatu perkara baru bagi kita, malah kemunculannya di negara ini adalah merupakan adunan dari pengaruh sebelum Islam dan kepercayaan animisma serta daya rekacipta kuno yang tidak berlandaskan Syariat Islam.
Terdapat pelbagai bentuk ajaran sesat di Negara kita seperti ajaran baru dengan menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Crypto. Selain itu ianya juga di dalam bentuk Tarikat dan ajaran ini biasanya menggunakan nama-nama Tarikat yang masyhur. Melalui bentuk ini guru-gurunya menggunakan cara-cara yang berbeza dengan yang asal atau diubah suai, malahan ada juga Tarikat itu diciptakan sendiri oleh pengasasnya seperti Ayah Pin di Kelantan dan lain-lain.
Selain itu juga ada yang berbentuk kepercayaan dan amalan tradisi.
Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap Wali kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang, bomoh, atau pembawa ilmu tertentu samada melalui menurun dan sebagainya.  Namun begitu, walau apa bentuk ajaran ini serta apa jua namanya, semua bentuk ajaran ini adalah jelas membawa penyelewengan dari segi akidah yang boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.

Bagi menentukan sesuatu ajaran dan amalan itu sesat ia didasarkan kepada penyentuhan akidah, sebagai contohnya pengakuan menjadi Nabi Dan Rasul.  Dalam sesuatu ajaran itu apabila didapati samaada pengakuan dari guru atau pengakuan dari murid atau pengikutnya yang beranggapan bahawa gurunya adalah Nabi dan Rasul atau wakil Nabi atau Rasul secara langsung, maka pengakuan itu adalah sesat dan tidak benar. Selain itu juga jika ianya menyentuh amalan. Sekiranya terdapat apa-apa amalan, perlakuan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan syariat Islam adalah dikira amalan sesat. Sebagai contohnya memansuhkan beberapa rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji sebagaimana yang telah dinyatakan. Rukun-rukun tersebut dikatakan zahir dan batinnya. Lalu mereka katakan bahawa sekiranya sudah tahu ibadat-ibadat tersebut dari segi batinnya maka tidak perlu lagi mengerjakannya secara zahir, kerana amalan zahir itu adalah kulit sahaja.
Kesimpulannya, pertumbuhan serta perkembangan ilmu atau amalan sesat di dalam masyarakat Islam di negara ini, bukan sahaja boleh menyebabkan Akidah umat Islam menyeleweng dari tuntutan Allah, bahkan ianya juga adalah sebahagian dari unsur-unsur yang membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam sendiri.  
Oleh kerana bahayanya ajaran sesat ini kerana ianya melibatkan aqidah umat Islam sewajarnya ajaran-ajaran seperti ini dibasmi oleh masyarakat itu sendiri dengan menjauhi ajaran-ajaran ini. Selain itu juga, masyarakat harus mengambil inisiatif dengan melaporkan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung ajaran-ajaran sesat seperti ini dari tersebar luas.
Selain itu,  bagi mengatasi dan membasmi segala ajaran atau amalan sesat  yang terdapat di dalam masyarakat Islam maka setiap umat Islam haruslah bertanggungjawab serta mengkaji sesuatu ajaran atau amalan itu secara terperinci dengan berlandaskan kepada ajaran Islam yang maha suci sebelum menyertai sesuatu ajaran, supaya dengan ini keimanan serta keyakinan umat Islam terhadap kebesaran kekuasaan Allah tetap terpelihara dan juga dapat mengelakkan umat-umat islam dinegara ini daripada terpedaya dan terperangkap dengan golongan-golongan yang mencari pengaruh disebalik kononnya atas nama Islam.
Pihak Berkuasa agama juga berperanan bagi memantau sebarang aktiviti-aktiviti ajaran sesat ini serta mengambil tindakan tegas dengan mendakwa mereka sekiranya terbukti individu-individu tersebut terlibat dengan ajaran-ajaran sesat ini kerana perbuatan ini secara jelas boleh didakwa di bawah akta atau enakmen-enakmen kesalahan jenayah negeri-negeri. Semua ini bertujuan bagi menjaga aqidah umat Islam dari diseleweng oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
(sumber diperolehi dari laman sesawang Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), http://www.peguamsyarie.org.my 

Isu Tukar Agama

Kisah Mariam Johari, 88 adalah kisah tentang seorang wanita yang terkandas di Korea Selatan selepas dibawa tentera Jepun ke negara itu ketika Perang Dunia Kedua, yang kemudiannya meninggal dunia di rumah kebajikan di Seoul 5 September lalu. Jenazah Mariam ditempatkan di rumah kebajikan Gereja Roman Katholik Beon Bong dan mayatnya hampir dibakar di pusat pembakaran mayat tersebut selepas kematian beliau. Namun begitu ianya ditangguhkan atas permintaan kedutaan Malaysia yang sedang berusaha untuk membawa jenazah Mariam di bawa pulang ke Malaysia atas permintaan anak-anak Mariam.

Difahamkan atas usaha pelbagai pihak termasuk Kedutaan Malaysia jenazah Mariam akhirnya dibenarkan dibawa balik ke Malaysia dan secara tidak langsung dikebumikan di Malaysia.  Walaupun sebelum daripada ini timbul beberapa isu bahawa Mariam adalah bukan warganegara Malaysia kerana beliau dikatakan telah membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melucutkan kewarganegaraan sebagai rakyat Malaysia pada akhir 2007 dan permohonan tersebut telah diluluskan tahun lalu.

Sebelum isu berkaitan dengan samada jenazah Mariam boleh di bawa balik ataupun tidak ke Malaysia dapat diselesaikan, tiga orang anak Mariam menaruh harapan tinggi agar jenazah ibu mereka yang lebih separuh abad tinggal di Korea Selatan di bawa balik ke tempat kelahirannya di Kota Tinggi Johor dan dikebumikan mengikut ajaran Islam.

Apa yang menjadi isu di dalam kes Mariam ini adalah pertamanya  wujudnya dakwaan anak-anak tiri Mariam bahawa beliau telah berwasiat sebelum kematiannya bahawa beliau mahu mayatnya dikebumikan di Korea Selatan mengikut adat masyarakat Korea. Keduanya, wujudnya dakwaan anak-anak Mariam bahawa Mariam yang kembali ke Malaysia pada September 2007 telah mengucapkan syahadah.

Sewajarnya status agama Mariam perlu diberi perhatian sebelum sebarang urusan pengkebumian dibuat. Ini bagi memastikan mayatnya diuruskan secara syariah jika benar beliau Islam ketika meninggal atau sebaliknya kerana wujudnya laporan bahawa beliau meninggalkan wasiat supaya diuruskan mengikut adat masyarakat Korea. Surat wasiat tersebut harus juga diteliti akan kesahihannya. Di sini pandangan ulamak diperlukan untuk menentukan status wasiat tersebut samada benar dakwaan bahawa beliau adalah Islam atau tidak.

Sebagai memetik kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya sebelum ini,  beliau menyatakan bahawa tanpa bukti kukuh, orang Islam yang diragukan status keislaman kerana peristiwa atau kehidupan dilaluinya sebelum itu kekal dengan agama barunya. Hanya bukti kukuh daripada pihak yang rapat  atau mengenali seseorang dapat menentukan agama akhirnya dan bagi tujuan itu Mahkamah Syariah boleh memutuskannya atas permohonan waris atau Majlis Agama Islam. Sekiranya ada bukti kukuh simati mengamalkan ajaran Islam atau kembali kepada Islam maka jenazahnya boleh diuruskan secara Islam.  Jika tidak ada sebarang bukti simati adalah Islam maka ia kekal di dalam agama barunya dan terserahlah kepada pihak berkaitan menguruskan berkaitan dengan perkara tersebut.   

Oleh itu, sekiranya Mariam kekal sebagai seorang Islam sebagaimana kenyataan  anak-anak Mariam yang menyatakan Mariam telah mengucapkan syahadah maka wasiat tersebut untuk dikebumikan secara bukan Islam tidak boleh dilaksanakan.

Isu-isu sebegini adalah berkait rapat dengan isu pertukaran agama. Secara umumnya pertukaran agama  bermaksud menukar kepercayaan dan pegangan daripada satu agama kepada agama lain tidak kira sama ada dari atau kepada agama Islam atau dari satu agama lain kepada agama lain (selain dari Islam). Bila dihubungkaitkan perkara pertukaran agama dari atau kepada Islam sahaja yang diperuntukkan di dalam undang-undang yang sedia ada mengenai kesan atau implikasi undang-undangnya. Tidak terdapat peruntukan undang-undang yang merujuk kepada kesan pertukaran dari satu agama bukan Islam kepada agama bukan Islam lain.

Terdapat kesan murtad (dari Islam kepada bukan Islam) dan pemelukan Islam daripada satu agama lain. Kesan yang timbul  akan melibatkan status seseorang itu dari segi identitinya, taraf perkahwinannya, obligasi dan hak di bawah undang-undang dirinya serta perkara-perkara sampingan lain termasuk konflik bidangkuasa Mahkamah yang akan mengendalikan pertikaian yang timbul antara pihak Islam dengan yang bukan Islam.

Kesan akan timbul dalam pelbagai dimensi. Ini berpunca daripada struktur dan skim pembahagian kuasa perundangan dan kehakiman yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam pada tempat yang istimewa sebagai agama Persekutuan. Selain daripada itu, peruntukan mengenai Hukum Syarak telah diperuntukan secara khusus dalam perlembagaan di bawah kuasa Negeri dan sebarang pertikaian mengenainya dletakkan di bawah bidangkuasa Mahakmah Syariah. Dengan latar belakang ini, kesan pertukaran agama dari perspektif perundangan Malaysia dapat dilihat lebih kpeada aspek identiti dan undang-undang diri yang termasuk undang-undang keluarga dan warisan.

Identiti yang dimaksudkan di sini merujuk kepada status agama seseorang itu yang turut mengakibatkan pertukaran undang-undang dan obligasinya terhadap pihak lain dan juga obligasi pihak lain terhadap dirinya. Ini termasuk juga di dalam menentukan status agama dirinya apabila ia meninggal dunia kelak.

Dari segi status agama, Seksyen 92 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Trengganu ) 2001 sebagai misalnya memperuntukan :

”Seseorang itu memeluk agama Islam dan menjadi orang Islam sebaik sahaja dia habis mengucap dua kalimah syahadah…”

Manakala seksyen 97 (1) enakmen yang sama memperuntukan bahawa seseorang yang telah memeluk agama Islam dan telah didaftarkan dalam Daftar Muallaf hendaklah bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri, dan selama-lamya diperlakukan sebagai orang Islam. Justeru itu  jika seseorang muallaf yang berdaftar meninggal dunia dan tiada waris Islam yang akan menguruskan jenazahnya menurut cara Islam, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat Islam setempat atau pihak berkuasa agama secara fardu kifayah menguruskan jenazahnya mengikut Hukum Syarak.

Kes Kalliamal lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hospital Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia menjelaskan penerangan di atas. Dalam kes ini Moorthy (Mohamad bin Abdullah) telah dikebumikan mengikut Hukum Syarak berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur kerana beliau telah didaftarkan sebagai seorang muallaf di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Namun begitu di dalam kes lain iaitu keadaan di mana seseorang yang asalnya beragama Islam tetapi telah mengamalkan cara hidup dan ibadat mengikut agama lain meninggal dunia, maka tanggungjawab pihak berkuasa agama Islam (sekiranya tiada waris) menguruskan jenazahnya secara Islam gugur dan boleh diuruskan oleh warisnya yang bukan Islam dan dikebumikan cara bukan Islam.

Kes Nyonya Tahir (rujuk kes Permohonan Pengisytiharan Status Islam (Ex-Prte) olh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin) yang berlaku di Negeri Sembilan pada tahun 2006 jelas menunjukkan kesan ini di mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memutuskan bahawa beliau bukan beragama Islam semasa kematiannya dan menyerahkan mayatnya kepada keluarganya yang bukan beragama Islam untuk dikebumikan mengikut agama Buddha.  


Kesimpulannya,  Mahkamah Syariah berbidangkuasa bagi menentukan status agama si mati yang diragukan keislamannya atas permohonan waris yang Islam atau melalui Majlis Agama Islam Negeri. Walau apapun setiap penentuan agama tersebut hendaklah disertakan dengan bukti yang kukuh sebelum Mahkamah Syariah memutuskan agama akhirnya. Orang Islam yang diragukan status keislaman kerana peristiwa atau kehidupan dilaluinya sebelum itu kekal dengan agama barunya. Ini bermaksud sekiranya ada bukti kukuh si mati mengamalkan ajaran Islam atau kembali kepada Islam maka jenazahnya boleh diuruskan secara Islam.  Jika tidak ada sebarang bukti si mati adalah Islam maka ia kekal di dalam agama barunya dan terserahlah kepada pihak berkaitan menguruskan berkaitan dengan perkara tersebut.  

 Disediakan oleh.
 
Mohamad Isa bin Abd Ralip
Presiden PGSM

(Sumber dipetik daripada laman sesawang Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), http://www.peguamsyarie.org.my)